Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hormati undang-undang negara jiran, kekalkan sikap toleransi
  • TEMPATAN

Hormati undang-undang negara jiran, kekalkan sikap toleransi

Utusan Sarawak 8 hours ago
KETIBAAN PENGANTIN… Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika menyambut ketibaan pengantin.

LIMBANG: Penduduk di utara Sarawak yang berurusan di sempadan Brunei perlu terus mengekalkan sikap positif serta menghormati peraturan yang ditetapkan negara jiran, khususnya berkaitan isu bahan api ketika ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata undang-undang diperkenalkan oleh Brunei yang mewajibkan kenderaan asing memasuki negara itu dengan tangki bahan api penuh serta melarang kemasukan kenderaan yang mempunyai kurang daripada tiga suku kapasiti bahan api adalah hak negara berkenaan.

“Kita menghormati undang-undang negara jiran dan mereka juga perlu mengawal penggunaan bahan api supaya lebih berhemah, terutama berikutan pergolakan di Asia Barat.

“Ini adalah isu global yang menjejaskan banyak negara, malah ada yang lumpuh kerana kekurangan bekalan bahan api untuk menjana tenaga dan menyokong sektor industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis persandingan anak Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, di sini hari ini.

Menurutnya, situasi berkenaan dijangka bersifat sementara dan Malaysia sendiri turut melaksanakan peraturan ketat terhadap kenderaan asing yang ingin mengisi bahan api di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan rakyat agar memahami keadaan tersebut dan tidak menganggapnya sebagai isu besar, memandangkan kebanyakan kenderaan penduduk di utara Sarawak sememangnya mengisi penuh bahan api sebelum melintasi sempadan Brunei.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sikap toleransi yang sekian lama diamalkan antara penduduk utara Sarawak dan rakyat Brunei perlu terus dipelihara kerana kedua-dua pihak saling memerlukan.

“Penduduk Brunei sering ke Sarawak atau Sabah untuk menziarahi saudara-mara dan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah. Begitu juga penduduk di Miri, Limbang dan Lawas yang perlu melalui Brunei bagi pelbagai urusan rasmi dan keluarga.

“Oleh itu, sikap saling memahami dan diplomasi antara semua pihak amat penting bagi mengekalkan hubungan baik ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan imej mana-mana pihak, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa demi kemajuan bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua negara sentiasa berusaha melindungi kepentingan masing-masing, selain kekal terbuka dalam perbincangan di peringkat tinggi.

Pada 30 Mac lalu, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri Brunei mengumumkan peraturan baharu yang mewajibkan kenderaan asing memasuki negara itu dengan tangki bahan api penuh, selain melarang kemasukan kenderaan yang mempunyai kurang daripada tiga suku kapasiti bahan api.

Kenderaan asing yang perlu mengisi bahan api di Brunei pula hanya dibenarkan membeli bahan api Shell V-Power petrol atau Shell V-Power diesel pada harga pasaran semasa.

Langkah mandatori itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan Brunei untuk memastikan penggunaan bahan api bersubsidi digunakan secara berhemah bagi kegunaan domestik serta menjamin keterjaminan tenaga negara.

Berikutan itu, pelbagai reaksi timbul dalam kalangan penduduk, khususnya di utara Sarawak, yang keliru dengan pelaksanaan peraturan tersebut.

Isu penjimatan penggunaan bahan api merupakan isu global yang turut memberi kesan kepada negara pengeluar seperti Brunei dan Malaysia.

Oleh Adeng Edrus

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Buaya gergasi 4.8 meter ditemui mati di tebing Sungai Segubang
Next: Konflik global ancam ekonomi, rakyat perlu bersiap siaga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.