Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hormati habitat buaya, kawal secara berhemah demi keselamatan bersama
  • TEMPATAN

Hormati habitat buaya, kawal secara berhemah demi keselamatan bersama

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media semasa menghadiri program flag off di pejabat Dayak Daily, Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan negeri akan terus mengambil langkah kawalan yang berhemah terhadap populasi buaya, tetapi tidak akan melaksanakan pemburuan secara menyeluruh tanpa mengambil kira ekosistem dan aspek pemuliharaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, manusia perlu memahami bahawa buaya ialah haiwan liar yang juga mempunyai habitat serta keperluan untuk hidup.

“Dalam kawasan yang terkawal, kita perlu lebih berhati-hati apabila berada di sungai atau menuju ke laut. Mereka haiwan dan mereka juga perlu hidup, sama seperti kita.

“Buaya melihat manusia sebagai makanan dalam keadaan tertentu. Itu sifat semula jadi mereka. Jadi kita perlu menghormati habitat mereka dan sentiasa berwaspada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program pelepasan di pejabat Dayak Daily, di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya berlaku satu atau dua kes serangan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menjejaki dan menangkap buaya yang dikenal pasti berbahaya.

“Sudah tentu jika berlaku serangan, kita akan cari haiwan itu. Tetapi kita juga perlu faham mengapa ia berlaku. Adakah manusia memasuki habitatnya? Adakah kawasan itu memang laluan semula jadi buaya?

“Kita perlu belajar dan memahami habitat haiwan berkenaan,” jelasnya.

Karim turut menjelaskan bahawa peningkatan populasi buaya di Sarawak bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya berkembang secara berperingkat dalam tempoh panjang.

Katanya, berdasarkan pemantauan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), populasi buaya menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sejak dahulu, pergerakan di sungai lebih aktif dengan penggunaan bot berenjin yang secara tidak langsung mengganggu habitat buaya. Kini keadaan sudah berubah, gangguan berkurangan dan populasi mereka berkembang dengan lebih cepat.

“Jadi apabila populasi meningkat, risiko pertembungan antara manusia dan buaya juga bertambah,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri melalui SFC sentiasa meneliti kaedah terbaik bagi memastikan jumlah buaya tidak menjadi ancaman serius kepada masyarakat, khususnya penduduk yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki.

Isu serangan buaya kembali menjadi perhatian susulan beberapa insiden membabitkan nelayan dan penduduk di kawasan sungai sejak kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan perairan negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang nelayan sungai di Sadong Jaya dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjala ikan di sungai berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Abdilah dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama agensi berkaitan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta segera melaporkan sebarang kelibat buaya kepada jabatan berkaitan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Karim turut mengingatkan agar masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyalahi undang-undang atau menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

“Kita tidak boleh bertindak secara melulu. Keselamatan rakyat memang keutamaan, tetapi pengurusan hidupan liar juga perlu dibuat secara terkawal dan berasaskan fakta,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Orang ramai diingatkan berhati-hati susulan peningkatan kehadiran buaya
Next: DayakDaily, BE Sarawak teruskan inisiatif ‘Bless Rural Children with Your Books’ edisi kelima

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.