Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hormati autonomi imigresen Sarawak dalam isu pelarian, kata peguam dan wakil belia
  • TEMPATAN

Hormati autonomi imigresen Sarawak dalam isu pelarian, kata peguam dan wakil belia

Utusan Sarawak 2 hours ago
SIDHARTH Shankar Asnani (kiri) dan Telford Engan Tan menggesa agar autonomi imigresen Sarawak dihormati dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar pelarian di Malaysia.

KUCHING: Sebarang perbincangan berkaitan dasar pelarian di Malaysia perlu mengambil kira kedudukan khas Sarawak dalam aspek imigresen serta menghormati autonomi yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata peguam Sidharth Shankar Asnani dan wakil belia Sarawak ke Kumpulan Penasihat Belia UNICEF Malaysia (YPAG), Telford Engan Tan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan bahawa perdebatan awam mengenai isu pelarian Rohingya tidak seharusnya disederhanakan kepada persoalan sama ada Sarawak perlu menerima atau menolak pelarian.

Menurut mereka, sebarang keputusan atau dasar peringkat nasional yang melibatkan kemasukan individu ke Sarawak perlu menghormati kuasa imigresen negeri yang memberi Sarawak autonomi dalam mengawal kemasukan dan pemastautinan, selaras dengan MA63 serta perlindungan undang-undang yang diperuntukkan kepada negeri Borneo.

Mereka berkata, Sarawak dan Sabah mempunyai kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia, khususnya berkaitan kawalan imigresen, yang berbeza daripada pergerakan biasa dalam Semenanjung Malaysia.

Telford yang juga pelajar undang-undang berusia 20 tahun berkata Sarawak tidak boleh diketepikan dalam sebarang keputusan nasional yang melibatkan pelarian atau mana-mana kumpulan yang berpotensi memberi kesan kepada keselamatan, kapasiti kebajikan, komuniti tempatan dan tadbir urus negeri.

“Sebarang dasar nasional berkaitan pelarian mesti melibatkan rundingan yang bermakna dengan Kerajaan Sarawak serta institusi negeri yang berkaitan sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sarawak berhak mengemukakan persoalan dasar yang penting sekiranya negeri ini dijangka menerima mana-mana kumpulan pelarian, termasuk aspek sumbangan ekonomi, status undang-undang, peluang pekerjaan, pembiayaan perkhidmatan asas serta peranan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, persoalan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai tanda permusuhan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab tadbir urus yang baik.

Sementara itu, Sidharth berkata, isu tersebut perlu ditangani berdasarkan kerangka perundangan yang sewajarnya, khususnya Akta Imigresen 1959/63 dan MA63.

Beliau menjelaskan bahawa Seksyen 64 Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 9(3) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam perkara berkaitan imigresen, kebebasan bergerak dan pemastautinan dalam Persekutuan.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pihak Berkuasa Negeri Sabah lwn Sugumar Balakrishnan pada 2002 turut mengesahkan bahawa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak merupakan antara syarat asas penyertaan kedua-dua negeri dalam pembentukan Malaysia.

“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam isu kemanusiaan serta migrasi amat penting, namun kerjasama itu tidak bermaksud autonomi Sarawak boleh diketepikan.

“Sebarang dasar yang mampan perlu menghormati Akta Imigresen 1959/63, kerangka MA63 serta kedudukan perlembagaan negeri-negeri Borneo,” katanya.

Dalam masa sama, kedua-duanya menegaskan bahawa mempertahankan hak Sarawak tidak bermaksud bersikap bermusuhan terhadap pelarian atau komuniti rentan, sebaliknya perbincangan awam perlu dijalankan secara berhemah dengan menghormati maruah kemanusiaan semua pihak.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: RM6.6 juta projek agro makanan BDDA di DUN Kalaka siap sepenuhnya
Next: 14 penerima terima Anugerah Ma’al Hijrah Sarawak 1448H

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.