KUCHING: Hidup sebatang kara setelah ditinggalkan isteri buat selamanya mengubah hidup seorang warga emas 360 darjah.
Jika 10 tahun yang lalu dia mempunyai pasangan untuk menguruskan keperluannya, dia kini hidup bersendirian dan hanya memasak hidangan yang ringkas untuk mengisi perut.
Lelaki warga emas yang berusia 67 tahun itu hidup bersendirian di rumah usangnya yang terletak di Batu Kawa kerana anak-anaknya masing-masing tinggal di Bintulu dan Miri.
Simpati akan nasibnya yang bergelut dengan masalah kewangan dan hanya mengharapkan hasil jualan barangan kitar semula, saudaranya menghubungi Pertubuhan Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching bagi membantu meringankan beban yang ditanggungnya.
”Dia tidak mempunyai sebarang wang simpanan atau wang kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan yang menerima gaji harian suatu masa dahulu.
”Sekarang dia bertahan hidup dengan mengharapkan hasil jualan barangan kitar semula seperti tin kosong yang dikumpulnya sekitar kawasan Batu Kawa menggunakan motosikal tuanya,” kata Hope Place menerusi satu hantaran Facebook.
Selain itu, katanya, dia juga kini mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan kencing manis yang mengakibatkannya perlu mengambil ubat cair darah dan insulin.
Berikutan itu, pendapatannya yang tidak seberapa itu juga tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan perubatannya.
”Rumah kayu yang didiaminya juga sudah reput dan bumbungnya juga mengalami kebocoran.
”Bagi mengisi masa lapang, dia akan membuat meja atau perabot kecil selain duduk di luar rumah dan mendengar radio lamanya,” katanya.
Justeru, Hope Place Kuching tampil membantunya dengan memberikan bantuan makanan berterusan.