Tanpa mengira apa juga jenis kemahiran yang dimiliki, ia tidak akan bermakna jika kita tidak menghargai dan menggunakannya dengan bijak apatah lagi jika mampu menambah pendapatan sampingan terutama ketika pandemik Covid-19.
Misalnya, kemahiran membuat kek, kuih, pencuci mulut, gubahan bunga dan gubahan duit pastinya mempunyai peminat serta permintaan menggalakkan jika hasilnya berkualiti dan dipasarkan dengan cara yang menarik.
Bagi Aida Shafilza Hassan, 32, mula meminati bidang pembuatan kek sejak di bangku sekolah membuatkan dia menanam azam serta tekad untuk berkecimpung dalam bidang itu secara serius suatu hari nanti.
Ternyata impian tidak tinggal angan-angan apabila kini dia berjaya membuktikan minatnya dalam bidang pembuatan kek membuahkan hasil lumayan dan kini menjadi sumber pendapatan tambahan buat keluarganya.
Menurut Aida Shafilza yang juga salah seorang penjawat awam di sektor pendidikan, dia mula serius dalam perniagaan itu kira-kira tiga tahun lalu setelah memikirkan kelebihan menjadikan hobi membuat kek sebagai sumber pendapatan.
“Bermula daripada itu, saya serius menghasilkan kek dan lama kelamaan saya menerima tempahan memberangsangkan daripada saudara-mara dan kenalan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Aida Shafilza berkata, dia tidak mengikuti mana-mana kelas membuat kek. Ilmu yang ada diturunkan oleh ibunya selain dia sendiri tidak jemu belajar teknik membuat kek yang betul melalui Internet dan YouTube.
“Saya juga banyak meluangkan masa untuk menambah baik setiap kek yang saya hasilkan bagi memastikan ia menepati selera dan kehendak pelanggan,” ujarnya.
Bagi memberi pilihan kepada pelanggan, Aida Shafilza mengakui perlu mempelbagaikan produk kek yang lazat. Dia kini menerima tempahan menyediakan kek perkahwinan, kek cawan, kek hari lahir, kek pelbagai perisa termasuk hadiah gubahan bunga dan duit.
“Antara kek yang menerima tempahan paling menggalakkan ialah kek ‘smash pinata’ yang menjadi trend masa kini dengan menggunakan bahan-bahan seperti ‘white chocolate Beryl’s, dark chocolate Beryl’s dan gel pewarna.
“Ia dijual bermula harga RM35 untuk hiasan luar termasuk api warna warni dan coklat, manakala untuk bahagian dalaman coklat yang boleh dimasukkan hadiah-hadiah kecil seperti cincin, wang, dompet, minyak wangi dan sebagainya akan ditentukan oleh pelanggan,” tambahnya.
Jelas Aida Shafilza, paparan gambar kek berserta gubahan hadiah tempahan pelanggan menerusi akaun media sosialnya setiap hari menjadi platform bagi menangani impak peningkatan kos sara hidup.
Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada media sosial seperti Facebook dan Whatsapp untuk mempromosi produk dan menerima tempahan pelanggan sejak berniaga pada 2019.
Menerusi kaedah berkenaan, dia mampu bertapak dan bertahan dalam suasana himpitan susulan penularan Covid-19 dengan menjana sumber pendapatan tambahan berkenaan.
“Mula-mula menceburi perniagaan ini, rentaknya agak perlahan sehingga saya mencuba untuk mencari pasaran menerusi media sosial selepas melihat ada yang berbuat demikian.
“Apabila mendapat maklum balas langsung daripada orang ramai, mulanya saya terkejut juga kerana pendekatan tersebut membuahkan hasil.
“Bertitik tolak daripada situ, saya guna sepenuhnya media sosial untuk mempromosi produk jualan dan mengambil tempahan,” katanya yang turut berharap agar dapat membuka kedai kek sendiri pada masa akan datang.
Oleh SYAMIMI HUSNA