KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan kerjasama Persatuan Alumni Aswara bakal mempersembahkan teater muzikal istimewa Sakti Merong Mahawangsa di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 22 hingga 24 November ini.
Presiden Persatuan Alumni Aswara Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin berkata, pementasan teater muzikal itu merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Mutiara, yang menandakan 30 tahun penubuhan Aswara sebagai institusi pengajian seni terulung di Malaysia.
Menurut beliau Sakti Merong Mahawangsa, yang mengambil inspirasi daripada hikayat legenda, Hikayat Merong Mahawangsa adalah interpretasi moden yang menceritakan perjalanan hidup Merong Mahawangsa membina Kedah Zamin Turan, yang kini dikenali sebagai negeri Kedah.
“Pementasan yang menghimpunkan lebih 100 bakat alumni Aswara dari pelbagai fakulti ini dibuat bagi memenuhi hasrat Rektor Aswara Dr. Tan Awang Besar yang mahu mengangkat karya agung Hikayat Merong Mahawangsa ke pentas muzikal.
“Teater ini adalah simbol semangat Aswara yang tidak kenal putus asa dalam memelihara serta mengangkat nilai seni dan warisan negara sejak ia ditubuhkan pada 1994,” katanya dalam sidang media pementasan teater muzikal berkenaan, baru-baru ini.
Pengarah teater muzikal itu Mohd Sharul Mizad Asari mengakui kebimbangannya menggalas tanggungjawab tersebut kerana diberi tempoh yang sangat singkat bagi melaksanakan sebuah persembahan.
“Ia proses yang sangat mencabar kerana dalam tempoh tiga bulan kami bukan sahaja perlu menyiapkan semuanya termasuk dari segi mengumpulkan alumni dan pembinaan skrip.
“Bagaimanapun, bekerja dalam keadaan tertekan sering kali dapat menghasilkan idea yang lebih kreatif selain sokongan daripada semua pihak dalam memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Katanya, bagi berlaku adil, semua pelakon yang dipilih perlu melalui sesi uji bakat dengan menetapkan kebolehan menyanyi, berlakon dan menari sebagai kriteria utama.
Pelakon teater berpengalaman, A Aris Kadir, yang memegang watak utama bersyukur diberi peluang untuk kembali ke pentas teater selepas 15 tahun tidak beraksi kerana memberi lebih tumpuan kepada kerja-kerja di belakang tabir sebagai koreografer.
“Jadi apabila berpeluang kembali beraksi di atas pentas, adrenalin sangat berbeza dengan perasaan bercampur baur, ada seram, suka, takut… macam-macam perasaan. Saya juga tidak sangka dipilih untuk memegang watak utama kerana tujuan utamanya hanyalah untuk melepaskan rindu.
“Situasi itu membuatkan saya berada dalam keadaan tertekan susulan saya mengalami kesukaran untuk menghafal skrip, namun perkara itu dapat diatasi hasil sokongan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Fiza Thomas atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip @ Thomas mengakui teruja untuk berlakon dalam teater muzikal selepas muncul kali terakhir dalam teater Ola Bola The Musical pada 2018.
“Apabila terpilih dalam teater ini, saya ibarat melepaskan gian, sebab saya memang dahagakan muzikal. Saya dilahirkan daripada dunia muzikal. Apabila saya masuk Aswara dan mempelajari teater bangsawan atau tarian Mak Yong, itu sudah dianggap sebagai muzikal. Dari situ, saya belajar untuk menyanyi, menari, berlakon, dan menghayati emosi dalam satu persembahan.
“Sebelum ini, saya hanya bekerja sebagai pelakon di kaca televisyen, sudah tentu tenaganya juga berbeza kerana di pentas, saya berasa ada kelainan dan memerlukan lebih banyak emosi dan penghayatan,” katanya.
Antara pelakon lain yang turut membintangi teater ini adalah Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Aznie, Mei Fen, Najua P Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.
Orang ramai yang berminat boleh membeli tiket secara atas talian menerusi pautan https://www.cloudjoi.com/shows/teater-muzikal-sakti-merong-mahawangsa bermula pada 6 November lepas. – Bernama