Ketika Pilihan Raya Negeri Melaka, Barisan Nasional memenangi 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. Pilihan Raya Negeri Sarawak pula menyaksikan kemenangan GPS sebanyak 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Terkini, Pilihan Raya Negeri Johor pula, Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi. Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi ini, terdapat petanda kedudukan pembangkang semakin lemah dan ini merupakan tamparan besar kepada Pakatan Harapan yang dahulunya dilihat sebagai kuasa besar yang mampu menggugah Barisan Nasional khususnya.
Erti Kekalahan Pembangkang
Berdasarkan kekalahan berterusan pembangkang tersebut, maka dapatlah dikatakan bahawa Barisan Nasional kini kembali mendapat kepercayaan walaupun kadar peratusan mengundi rendah. Barisan Nasional cuba memulihkan imej dan kepercayaan daripada pengundi melalui manifesto-manifesto yang dikemukakan, selain kempen berterusan dari media sosial hingga program jelajah bersama pengundi. Pada kali ini, dapat dilihat BN cuba meyakinkan rakyat mereka mahu berubah dan membuat terbaik.
BN menggunakan pemerintahan PH selama 22 bulan sebagai senjata untuk melemahkan PH dengan menyerlahkan kegagalan-kegagalan melaksanakan manifesto yang dijanjikan. Janji pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak dilaksanakan, pemotongan subsidi nelayan dan petani, janji tol dihapuskan adalah antara factor yang menyebabkan ketidakpuasan dan kemarahan penyokong PH sendiri.
Impak Perdana Menteri Letak Jawatan
Apabila Tun Mahathir meletak jawatan secara sukarela tanpa merujuk kepada komponen Pakatan Harapan, hal sedemikian ini membawa kesan terburuk paling besar kepada sejarah Pakatan Harapan. Begitu juga apabila parti Bersatu mengumumkan keluar daripada PH. Kesan dua peristiwa sangat teruk dan menjejaskan imej dan reputasi PH yang kononnya merupakan penyelamat rakyat daripada dibelenggu Barisan Nasional ketika itu. Sebaliknya tindak tanduk Mahathir dan Muhiyddin telah mempengaruhi persepsi rakyat dan pengundi bahawa PH penuh dengan konflik, tidak sehaluan, sukar dipercayai, mementingkan diri sendiri dan manifesto pula tidak dapat dipercayai.
Kesan persepsi inilah sebenarnya membawa kepada keruntuhan imej PH secara automatik selepas episod perletakan jawatan Tun Mahathir. Namun, ada juga yang menyatakan tindak tanduk Tun Mahathir ini dilakukan secara sengaja untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak dapat menjadi Perdana Menteri akibat kecurigaan dan kepentingan tersendiri Mahathir dalam pola percaturan politik nasihat yang beliau sendiri lebih mengetahui punca sebenar tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri lantas meletak jawatan.
Perlakuan buruk politik ini benar-benar meninggalkan kesan terhadap reputasi apabila dalam pilihan-pilihan raya negeri, rakyat mulai hilang kepercayaan kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan. Oleh sebab itu, dapat dilihat bukan sahaja Parti Keadilan Rakyat (PKR) kurang berprestasi, malah parti Amanah dan DAP juga menanggung kesan kehilangan undi yang begitu banyak. Selain itu, parti Bersatu juga, walaupun sudah keluar dari Pakatan Harapan, tetap menerima sambutan dingin daripada pengundi akibat tindak tanduk perlakuan politik mereka sendiri ketika dalam PH. Hal ini bermakna, pengundi semakin kritis dan menterjemahkan kekecewaan mereka dalam bentuk undi.
Parti Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri juga menerima nasib yang sama apabila ditolak oleh rakyat dan semua kerusi yang mereka tandingi tewas teruk dan banyak kehilangan wang deposit. Inilah manifestasi penolakan rakyat terhadap perlakuan politik sebelum ini yang masih meninggalkan ingatan dan trauma yang teruk kepada rakyat. Parti Warisan yang pernah bersekutu dengan Pakatan Harapan juga menerima nasib yang sama apabila kehilangan sokongan daripada pengikut mereka sendiri, yang terbaru wakil rakyat mereka sendiri keluar parti dan mengumumkan menjadi wakil rakyat bebas kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Warisan.
Apabila Warisan bertanding enam kerusi dalam PRN Johor, jelas mereka tidak diterima oleh pengundi Johor. Penolakan parti Warisan di Johor bukanlah disebabkan parti tersebut berasal dari Sabah dan dipimpin oleh pemimpin dari Sabah. Isu sebenar ialah pengundi lebih percaya parti dalam komponen Barisan Nasional yang sudah terbukti mempunyai rekod pentadbiran dan sejarah yang panjang, walaupun BN bukanlah parti yang sempurna sepenuhnya, namun kalangan parti-parti atau blok yang bertanding, BN dilihat lebih stabil, bersatu, harmoni dan meyakinkan berbanding parti-parti lain.
Undi atas Pagar
Protes penyokong pembangkang sendiri sangat jelas apabila jumlah turun mengundi pada Pilihan Raya Umum 2018 adalah sebanyak 82.3 peratus rakyat Malaysia mengundi. PRN Melaka pula jumlah turun mengundi adalah sebanyak 65.8 peratus, manakala PRN Sarawak pula sebanyak 60.6 peratus, manakala dalam PRN Johor adalah hanya 54.9 peratus yang turun mengundi. Sekiranya mengambil contoh PRN Melaka misalnya, terdapat 29 peratus pengundi Cina tidak turun mengundi, Begitu juga pengundi India juga tidak mengundi sebanyak 29 peratus. Pengundi Melayu di Melaka pula 5 peratus yang tidak turun mengundi.
Peratusan yang tidak turun mengundi tersebut sekitar 20 hingga 30 peratus dan jumlah peratus tersebut, khususnya pengundi bukan Melayu dapat dikategorikan sebagai undi atas pagar yang sebelum itu, telah turun mengundi pada Pilihan Raya Umum 2018. Ketidakhadiran pengundi atas pagar yang sebelum ini telah membuat keputusan untuk menyokong PH sudah pasti mempunyai sebab rasional, justifikasi dan pendirian tertentu. Sudah pasti faktor terbesar pengundi tersebut tidak turun mengundi kerana memprotes PH yang dilihat mereka tidak berjaya memenuhi impian dan harapan mereka apabila memerintah cuma 22 bulan sahaja selepas diberikan kepercayaan dan mandat daripada rakyat. Ketidakselesaan pengundi atas pagar inilah menjadikan tidak turun mengundi sebagai pilihan mereka dan sebahagian besar mereka tidak mahu mengundi parti Barisan Nasional.
Berdasarkan situasi ini maka, undi yang berbaki kalangan yang turun mengundi ialah pengundi atau penyokong tegar Barisan Nasional, dan sedikit undi penyokong tegar pembangkang yang tetap menyokong pembangkang walau apa-apapun terjadi. Jelas, factor inilah mengakibatkan peratusan undi popular setiap parti, tanpa mengira blok parti yang bertanding, tidaklah terlalu besar beza kalangan mereka yang bertanding tersebut.
Masa Depan Pembangkang
Ternyata selagi pembangkang tidak bersatu, selagi itulah juga pembangkang sukar untuk kembali di negeri-negeri yang pernah mereka kuasai. Pembangkang juga perlu membentuk pakatan yang lebih strategik dan bersifat realistik dalam pengagihan kerusi. Terdapat parti pembangkang baru yang belum mendapat tempat di hati pengundi, sebaliknya hanya popular di media social, akan tetapi mahu bertanding dalam banyak kerusi. Sikap tidak realistik ini menyebabkan kerusi tidak dapat diagihkan secara adil. Malah, ada parti pembangkang yang berasa parti mereka sahaja popular, manakala parti lain tidak popular, lantas mahu bertanding dalam banyak kerusi pilihan raya. Terdapat juga parti pembangkang yang seolah-olah menjadi wakil kepada suara anak muda, walaupun parti-parti pembangkang lain sudah lama aktif dalam membangkitkan suara anak muda. Hal seumpama ini menjadi hubungan sesama pembangkang menjadi dingin dan sukar untuk bekerjasama mencapai hasrat bersama.
Ternyata strategi memburuk-burukkan parti lawan tanpa penyelesaian yang kukuh tidak akan mampu membawa impak positif kepada pengundi. Malah, sikap suka memburuk-burukkan lawan tanpa tawaran-tawaran yang lebih baik dan realsitik menjadikan pengundi berasa mual, jelik dan marah seolah-olah kurang matang dalam berpolitik. Hal ini menyebabkan penyokong lama mereka pun kadangkala menjauhi dan tidak lagi menyokong mereka, Inilah antara pengajaran yang perlu diambil perhatian pembangkang.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)