SATOK merupakan kawasan sub-urban yang kini pesat membangunan dengan pembangunan yang terletak kira-kira dua kilometer (KM) dari pusat Bandar Raya Kuching.
Meskipun Satok sering dikatakan sebagai kawasan kampung di dalam bandar, namun dengan pentadbiran bijak para pemimpin kerajaan Satok telah digabungkan dengan kawasan perkampungan, perniagaan dan pelbagai aktiviti komersial pesat membangun tanpa mengabaikan identiti Kampung Melayu.
Jika dilihat kini kawasan Satok sedang rancak dengan pembangunan seperti pembinaan bangunan Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, Satok yang dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2022, bangunan ini akan menjadi bangunan pintar pertama di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, bangunan milik Permodalan Satok Berhad (PSB) itu akan dilengkapi sepenuhnya dengan sistem sentuhan elektronik atau e-switch.
“Apabila siap nanti, bangunan ini akan menjadi perintis sistem digital sepenuhnya pada bangunan moden lain di Sarawak dan ia selaras dengan hasrat kita untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam segala urusan,” katanya.
Bangunan berkembar setinggi 22 tingkat itu dibina dengan kos lebih RM300 juta dengan keluasan 1.489 hektar (3.68 ekar).
Bangunan yang terletak di lokasi sibuk di pusat Bandar Raya Kuching itu terbahagi kepada tiga komponen iaitu pejabat, pusat konvensyen dan pusat komersial.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, berkata pembinaan bangunan itu juga menjadi titik penting dalam usaha untuk mempertahankan hartanah milik masyarakat Melayu di bandar.
Ini kerana katanya, tidak banyak lagi hartanah masyarakat Melayu yang tinggal berikutan kepesatan pembangunan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“Kita tidak mahu hartanah masyarakat Melayu bandar lenyap seperti yang berlaku di Kampung Wireless di Miri, Kampung Dagang di Bintulu serta Kampung Nyabor di Sibu.
“Pembinaan Hikmah Exchange adalah permulaan kepada usaha kita untuk mempertahankan hartanah masyarakat Melayu bandar,” katanya.
Apabila siap nanti, beliau mahu 100 peratus premis di bangunan itu dimiliki masyarakat Melayu.
“Kita juga tidak mahu ia dijual atau dipindah milik oleh waris pemilik asal nanti,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO