BINTULU: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) merampas hidupan liar bernilai RM130,400 menerusi Op Khazanah baru-baru ini.
Dalam serbuan di sebuah kawasan persendirian di Batu 6 Jalan Bintulu-Miri, sekitar 1.45 tengah hari, seorang lelaki ditahan kerana memiliki haiwan yang terlindung tanpa permit sah.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 5 Bintulu, ASP Ezuandi Bahadin berkata, sebanyak 13 ekor burung spesies terlindung berjaya ditemui dalam operasi itu.
Spesies tersebut adalah lapan ekor White Parakeet, seekor Grey Parakeet, seekor Blue and Yellow Parrot, seekor Green Parrot dan dua ekor Colour atau Reddish Parrot.
Selain itu, turut ditemui lima ekor kura-kura liar termasuk seekor spesies kura-kura gergasi jenis Baning yang dianggarkan bernilai RM50,000.
“Kesemua haiwan liar yang dirampas dianggarkan bernilai RM130,400,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang dipercayai pemilik premis tidak mempunyai lesen atau dokumen sah memiliki haiwan liar terbabit.
“Pemilik kawasan berkenaan sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 48(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana gagal mengemukakan dokumen sah memiliki atau menyimpan haiwan liar berkenaan,” jelas Ezuandi.
Tegasnya, laporan polis sudah dibuat mengenai kes itu dan akan diserahkan kepada pihak SFC bagi siasatan lanjut.