
PETRA JAYA: Legenda muzik Indonesia, Hetty Koes Endang bakal mencipta sejarah apabila tampil buat pertama kali di Utara Sarawak menerusi Hetty Koes Endang & Friends Concert 2025 yang akan berlangsung pada 13 September ini, di Stadium Bandaraya Miri.
Konsert anjuran Borneo SuperAct Events itu bukan sekadar persembahan muzik, malah membawa mesej amal apabila sebahagian kutipan bersih akan disalurkan kepada Persatuan Sokongan Kanser Payudara Miri (PERSOPAM). Ini selaras dengan tema konsert, ‘A Concert with Charity in Mind.’
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, inisiatif tersebut wajar dijadikan contoh kerana memadukan hiburan dan keprihatinan sosial.
“Konsert ini bukan sahaja mengangkat nama besar dalam muzik Nusantara, tetapi juga membantu golongan yang memerlukan. Ia juga akan menjadi penampilan pertama Hetty di Utara Sarawak, yang pasti dinantikan peminat,” katanya pada sidang media di Baitulmakmur II, hari ini.
Konsert tersebut dijangka menarik ribuan peminat dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Kalimantan.

Penyanyi yang mesra disapa ‘Bunda’ itu telah menghasilkan lebih 160 album, antaranya lagu malar segar Berdiri Bulu Roma Ku, Kasih, Dingin, Cinta, Rindu dan Sayang. Antara pencapaian terbesarnya ialah kemenangan lagu duet Damai Tapi Gersang bersama Ajie Bandi di Festival Lagu Popular Dunia 1977 di Tokyo.
Hetty turut akan bergandingan dengan barisan artis tempatan seperti Bob Yusof, Rickie Andrewson, Rosiana Urai, serta pasangan kembar berbakat, Aleysha dan Ryan Zachary Van Der Horst.
Oleh Amanda L.