SIBU: Hero sebenar kejayaan Sarawak menganjur dan menjuarai temasya SUKMA 2024 adalah mereka yang memainkan peranan penting di belakang tabir, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata semua gembira apabila atlet Sarawak memenangi pingat sama pingat emas, perak atau gangsa.
“Kita semua berasa gembira. Tetapi kita ada hero di belakang tabir. Mereka ini telah bertungkus lumus di belakang tabir bagi menjamin kelicinan penganjuran. Tanpa hero ini, ia tidak akan dapat berjalan lancar.
“Hero ini adalah semua anda yang berada di dalam dewan pada malam ini dan sebab itu mengapa kita berada di sini pada malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Apresiasi Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-XXI Sarawak 2024 peringkat Zon Tengah di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Bagaimanapun katanya, yang lebih penting kejayaan Sarawak menganjurkan SUKMA dan muncul sebagai juara keseluruhan adalah hasil sokongan rakyat yang tidak berbelah bagi dan dedikasi mereka yang terlibat dalam penganjurannya.
“Sokongan daripada rakyat Sarawak memberi inspirasi kepada atlet kita untuk memberikan yang terbaik, memenangi pelbagai pingat dan akhirnya menobatkan Sarawak sebagai juara keseluruhan edisi SUKMA kali ini,” katanya.
Abdul Karim mengulangi bahawa penganjuran SUKMA 2024 merupakan yang terbesar dalam sejarah dengan menampilkan 37 jenis sukan dan 488 pingat emas.
Beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan penganjuran SUKMA kali ini dan menggelarkan mereka sebagai hero.
“Kita telah menganjur majlis Apresiasi SUKMA 2024) di Kuching, malam ini di Sibu dan akan diadakan di Miri untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada hero di zon utara,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Penolong Chef De Mission (ACDM) Sukan Badminton, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti yang juga ACDM Sukan Akuatik Renang dan Terjun, Datuk Mohammad Razi Sitam; Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian yang juga ACDM Bola Sepak Lelaki, Royston Valentine.
Oleh AKUN GIMAN