KAPIT: Pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik (HEP) Baleh di Kapit yang akan berfungsi sebagai tonggak tambahan dalam strategi pembangunan tenaga dan pembaharuan Sarawak merupakan projek kerja sivil terbesar oleh syarikat milik Kerajaan Sarawak.
Apabila HEP Baleh beroperasi sepenuhnya pada 2026, Sarawak akan mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik, selari dengan matlamat untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Apabila beropersi kelak, HEP Baleh akan bergabung dengan kilang tenaga hidro Sarawak yang lain iaitu Batang Ai, Murum dan Bakun bagi memperkuat aspirasi Sarawak untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik terbesar.
Menerusi kenyataan medianya, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan terus mengembangkan sumber tenaga hidro berdasarkan prinsip panduan kelestarian dalam membangun kemakmuran bagi rakyat Sarawak menjelang 2030.
Menurut Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, HEP Baleh sangat penting dalam menjamin keupayaan tenaga yang diperlukan untuk pembangunan Sarawak.
Katanya, walaupun Sarawak mungkin memiliki sumber tenaga yang cukup pada masa ini, namun kerajaan negeri perlu merancang dan bersedia untuk masa depan.
“Kekurangan sumber tenaga merupakan penghalang utama kemakmuran dan kemajuan di negara lain dan kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada Sarawak.
“Sokongan dan kerjasama masyarakat Baleh dan Kapit yang terlibat secara langsung mahupun tidak, sangat penting bagi kejayaan pelaksanaan projek sebesar ini.
“Untuk ini, kami harus berterima kasih kepada penduduk Baleh dan Kapit atas sokongan mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan ke tapak Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) bagi mendapatkan gambaran sebenar projek pembangunan infrastruktur strategik terbesar di negeri ini.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Mengulas lanjut HEP Baleh, Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi memberitahu projek berkenaan akan memberi manfaat kepada seluruh Sarawak dalam jangka masa panjang.
“Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan projek ini tetap berjalan lancar walaupun terdapat kekangan seperti pandemik Covid-19 serta cabaran lain.
“Kami juga amat memerlukan dukungan dari semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Oleh Nurzilla Mohamad