KUALA LUMPUR: Kutipan sumbangan bagi menghargai jasa Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang bakal bersara pada 11 November ini sudah dihentikan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan, memaklumkan Peguam Negara sendiri meminta supaya hasrat murni itu tidak diteruskan.
“Walaupun tujuan kutipan sumbangan ini berniat murni, Peguam Negara meminta supaya hasrat ini tidak diteruskan,” menurut kenyataan itu berhubung dengan isu kutipan sumbangan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi menghargai jasa Peguam Negara.
Sebelum ini, tular di media sosial dan platform Telegram bahawa jabatan terbabit diminta memberikan sumbangan wang untuk membeli hadiah sempena persaraan Ahmad Terrirudin tidak lama lagi, mengambil kira banyak jasa dan usaha yang dibuat beliau kepada bahagian pendakwaan.
Amaun kutipan sumbangan itu adalah mengikut gred iaitu Turus (RM500); Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A (RM400); B (RM300) dan C (RM200), manakala L44 (RM30) serta L41 (RM20).
Difahamkan, sumbangan itu juga dibuat bagi meraikan Ahmad Terrirudin yang bakal dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Ahmad Terrirudin, 56, dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.
Sebelum memegang jawatan itu, Ahmad Terrirudin adalah Peguam Cara Negara. – Bernama.