

-Foto UKAS
PUTRAJAYA: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) digesa untuk berperanan secara aktif dalam menangkis provokasi negatif berkaitan isu kawalan minyak dan gas antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof memberitahu, Sarawak akan terus kekal dalam Malaysia dan menggesa pihak tertentu menghentikan gesaan agar negeri itu keluar daripada persekutuan sebagai tanda bantahan terhadap isu berkenaan.
“Sentimen negatif seperti ini hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan akhirnya merugikan kerajaan.
“Oleh itu, UKAS perlu memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada rakyat bahawa tidak perlu sampai ke tahap tersebut kerana kita masih kekal dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi UKAS yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee di pejabatnya, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan bahawa Petronas dan Petros telah bersetuju secara prinsip untuk menyelesaikan isu berkaitan melalui perjanjian komersial berbanding tindakan perundangan.
Menurutnya, penyelesaian melalui mahkamah semata-mata tidak akan memberi manfaat sepenuhnya, sebaliknya kerjasama antara kedua-dua pihak lebih penting demi kepentingan negara.
“Solusi terbaik adalah melalui perjanjian komersial yang memberikan situasi menang-menang antara kerajaan persekutuan dan negeri. Secara prinsip, penyelesaian ini telah dipersetujui,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Perdana Menteri, Premier Sarawak, Peguam Negara, Peguam Negeri, serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan Petros duduk bersama untuk merangka perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak bagi menjamin hubungan kerjasama lebih baik.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta UKAS membantu dalam penyediaan kajian semasa berlangsungnya sesi Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan persekutuan masih memerlukan lebih banyak maklumat mengenai Sarawak, dan peranan UKAS dalam aspek ini amat penting.
Hadir sama, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Tadbir Khas UKAS, Datu Takun Sunggah, serta pegawai-pegawai kanan UKAS.