
SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Tamin, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing, menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, untuk bertanding merebut salah satu jawatan Naib Presiden.
Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) PRS itu dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini.
Menurut Henry, langkah Kudi adalah isyarat jelas bahawa PRS kini bersedia memberi ruang kepada pemimpin muda untuk tampil di barisan kepimpinan tertinggi parti.
“Jawatan Naib Presiden tidak semestinya hanya disandang oleh ahli lama. Kita mahu golongan muda membarisi kepimpinan kerana mereka adalah pelapis yang akan menerajui parti pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa ketiadaan usaha melatih pelapis sebelum ini perlu diperbaiki dengan membuka peluang kepada wakil rakyat muda menggalas tanggungjawab di peringkat kepimpinan.
Henry, yang juga Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), menyifatkan Kudi sebagai tokoh muda yang berpotensi besar, selain memuji keputusan beliau memberi laluan kepada calon lain dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda PRS.

“Keputusan Kudi bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, untuk menumpukan perhatian kepada jawatan Naib Presiden adalah langkah tepat.”
“Sekiranya kedua-duanya dipilih, ia membuktikan bahawa jawatan itu bukan hanya untuk ahli lama, malah turut membuka ruang kepada generasi baharu.”

Henry turut menggesa semua 38 bahagian PRS agar mencalonkan Kudi dan Roy, kerana kehadiran mereka diyakini mampu mengimbangi suara generasi muda dan senior dalam parti.
“Jika benar PRS mahu diremajakan, maka buktikan dengan menyokong calon-calon muda ini. Kita perlu dengar suara anak muda, memberi mereka peluang mengurus parti, dan membuktikan PRS bukan hanya untuk ahli lama,” katanya lagi.
Tambahnya, barisan Naib Presiden yang merangkumi tokoh muda akan memastikan kesinambungan perjuangan PRS lebih tersusun, sekali gus memperkukuh wawasan parti untuk kekal relevan.
Terdahulu pada 31 Ogos, Kudi mengumumkan penarikan diri daripada persaingan jawatan Ketua Pemuda PRS untuk memberi tumpuan kepada jawatan Naib Presiden. Roy Angau turut mengambil langkah sama pada hari yang sama.
Dengan perkembangan tersebut, hanya ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang kekal sebagai calon Ketua Pemuda PRS selepas penyandangnya, Datuk Snowdan Lawan, memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut bagi menumpukan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.