MOSCOW: Sebuah helikopter yang membawa 16 pelancong dan anak kapal dalam perjalanan bersiar-siar di gunung berapi di timur laut Rusia terhempas di tasik semalam menyebabkan lapan orang dikhuatiri maut dan dua yang lain dalam keadaan parah, kata pegawai tempatan.
Helikopter Mi-8 jatuh ke Tasik Kuril di Semenanjung Kamchatka yang bergunung di tengah-tengah jarak penglihatan yang teruk, kata Gabenor Vladimir Solodov.
Tambah Solodov, kakitangan Hutan Simpan Kronotsky menyelamatkan separuh daripada orang yang berada di dalam helikopter tersebut.
“Mereka mendekati tempat kejadian dengan kapal dan menyelamatkan lapan orang,” kata Solodov dalam satu kenyataan. Dua daripada mangsa yang selamat kini dalam rawatan intensif dengan pelbagai kecederaan.
Lapan yang lain dikhuatiri mati, tetapi nasib mereka tidak dapat disahkan dengan segera.
“Kami tidak mempunyai maklumat mengenai yang lain,” kata Jurucakap Gabenor, Alla Golovan.
Jelas Gabenor, helikopter itu kini berada di kedalaman lebih dari 130 meter sekitar 800 meter dari pantai.
Menurut pihak berkuasa, lebih daripada 60 penyelamat dan penyelam dihantar ke tempat kejadian, tetapi tidak mempunyai peralatan yang diperlukan untuk memulakan operasi.
“Penyelam Kementerian Situasi Kecemasan tidak dapat bekerja sedalam itu. Oleh itu, kami meminta bantuan Kementerian Pertahanan.
“Robot akan digunakan untuk mengimbas situasi dasar Tasik Kuril di lokasi nahas,” kata Gabenor Solodov.
Jawatankuasa Penyiasatan mengatakan pihaknya sedang melihat kemungkinan pelanggaran peraturan keselamatan udara yang memicu insiden itu.
Dalam pada itu, pelancong di dalam helikopter itu berasal dari bandar kedua terbesar Rusia, Saint Petersburg.
Helikopter itu membawa mereka ke Khodutka, gunung berapi berhampiran Bandar Petropavlovsk-Kamchatsky dan helikopter itu adalah milik sebuah syarikat bernama Vityaz-Aero, yang dimiliki bersama oleh ahli parlimen tempatan, Igor Redkin.
Awal minggu ini, Redkin menjadi berita utama di Rusia ketika dia mengaku membunuh seorang lelaki yang dianggapya beruang.
Kamchatka adalah semenanjung luas yang terkenal dengan pelancong pengembaraan kerana kekayaan hidupan liar, gunung berapi aktif dan pantai pasir hitam.
Pada Julai lalu, sebuah pesawat dari sebuah syarikat kecil tempatan terhempas di semenanjung, membunuh 19 orang.
Rusia secara historis mempunyai reputasi buruk terhadap keselamatan udara, tetapi mencatatkan peningkatan kes dengan ketara sejak 2000-an.
Syarikat penerbangan utama negara telah beralih dari pesawat Soviet yang semakin tua ke pesawat moden, tetapi masalah penyelenggaraan dan kepatuhan terhadap peraturan keselamatan tetap menjadi masalah.
Pada Mei 2019, penerbangan Aeroflot terbakar ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Sheremetyevo di Moscow mengorbankan 41 orang. -AFP