



MUKAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggunakan helikopter Mi-171 untuk melaksanakan tugasan pemadaman kebakaran terbuka berhampiran Lapangan Terbang Mukah, melibatkan keluasan lebih kurang 105 hektar hutan belukar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, helikopter Mi-17 itu diterbangkan dari pangkalan Unit Udara JBPM di Miri pada jam 12.29 tengah hari dan mendarat di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada jam 2.22 petang semalam.
Katanya, operasi pemadaman dengan teknik mencurahkan air dari udara menggunakan helikopter Mi-171.
Bagaimanapun, ia hanya dapat menjatuhkan air sebanyak 6,360 liter dalam tempoh 42 minit, disebabkan masalah teknikal pada sistem pesawat.
“Atas faktor keselamatan, operasi terpaksa dihentikan untuk membolehkan pemeriksaan dilaksanakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa komponen perlu ditukar dan akan dihantar segera melalui jalan darat oleh pihak penyelenggara pesawat,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Katanya, cuaca berjerebu dengan jarak penglihatan 8km dan kekuatan angin 10-15 knot.
Tugasan akan bersambung hari ini selepas pesawat diselenggara.
Beliau memberitahu, pihak bomba turut menggunakan bantuan jengkaut untuk ‘firebreak’ dalam operasi tersebut.
Oleh AKUN GIMAN