Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • HCTM pertama di Malaysia guna gabungan teknologi canggih bedah telinga
  • KESIHATAN

HCTM pertama di Malaysia guna gabungan teknologi canggih bedah telinga

Utusan Sarawak 6 hours ago
JABATAN Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), mencipta sejarah apabila melaksanakan pembedahan endoskopik telinga menggunakan teknologi Piezosurgery dan robotic endoscopic holder yang pertama di Malaysia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia melakar sejarah menjadi hospital pertama di negara ini yang berjaya menjalankan pembedahan endoskopik telinga menggunakan gabungan dua teknologi baharu yang canggih.

Prosedur yang dijalankan pada 12 Mac lepas itu menggabungkan teknologi pembedahan piezo (Piezosurgery) dan pemegang endoskop robotik ke atas pesakit wanita berusia 59 tahun yang mengalami gangguan pendengaran pada telinga kanan.

Pakar Perunding Unit Otologi, Neurotologi & Dasar Tengkorak Lateral, Jabatan Otorinoloringologi-Surgeri Kepala dan Leher HCTM Prof Madya Dr Noor Dina Hashim berkata penggunaan pemegang endoskop robotik itu menjamin kestabilan serta kejelasan imej kawasan pembedahan, sekali gus membolehkan pakar bedah mengendalikan instrumen dengan lebih efisien menggunakan kedua-dua belah tangan sepanjang prosedur.

“Sebelum ini, pembedahan endoskopik memerlukan pakar bedah memegang endoskop dengan satu tangan dan alat pembedahan dengan tangan yang lain. Tangan yang memegang endoskop perlu sangat stabil bagi memastikan visual pembedahan jelas, namun ia boleh menyebabkan kelesuan.

PAKAR Otologi, Neurotologi dan Dasar Tengkorak Lateral HCTM, Prof. Madya Dr. Noor Dina Hashim, ketika melakukan pembedahan endoskopik telinga menggunakan Teknologi Piezosurgery dan Robotic Endoscopic Holder di Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) baru-baru ini. Foto Bernama

“Dengan adanya lengan robotik yang memegang endoskop, imej kawasan pembedahan stabil, jelas dan kedua-dua belah tangan (doktor) bebas, jadi dapat buat kerja dengan lebih baik dan terkawal. Dalam ruang sempit seperti terowong telinga, elok jika penggunaan kedua-dua tangan secara bebas terutama untuk mengawal pendarahan, memotong bahagian tisu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Noor Dina berkata pemegang endoskop robotik direka khusus bagi membantu pakar bedah menjalankan prosedur di kawasan anatomi kecil dan sukar dicapai dengan lebih stabil dan tepat, khususnya di bahagian telinga tengah.

Katanya pemegang endoskop itu juga mudah dipasang serta dikendalikan, membolehkan pakar menyesuaikan diri dengan penggunaannya dalam tempoh yang singkat.

Pembedahan yang turut dibantu Pakar Otorinolaringologi Dr Wan Nabila Wan Mansor itu menggunakan teknologi piezo-scissor cutter bagi memotong tulang tanpa mencederakan tisu lembut dan merupakan kali pertama teknologi lazim bidang pergigian tersebut digunakan bagi pembedahan endoskopi telinga di Malaysia.

“Sebelum adanya piezocutter, kami menggunakan drill bersifat rotatif yang matanya berpusing membulat untuk memotong tulang dan boleh memotong tisu-tisu sekeliling yang berisiko membawa kepada komplikasi.

“Piezo-scissor cutter membenarkan pemotongan jadi lebih teliti dan eksklusif hanya pada tulang, tidak memotong tisu-tisu di sekeliling tulang. Malah, kalau tersasar sedikit pun tidak akan mencederakan tisu sekeliling,” katanya, menambah bahagian telinga tengah mempunyai banyak struktur penting seperti saraf muka dan tulang pendengaran.

PAKAR Perunding Otologi, Neurotologi dan Dasar Tengkorak Lateral HCTM, Prof. Madya Dr. Noor Dina Hashim (kanan), dan Pakar Otorinolaringologi, Dr. Wan Nabila Wan Mansor, ketika ditemubual oleh Bernama mengenai pembedahan endoskopik telinga menggunakan Teknologi Piezosurgery dan Robotic Endoscopic Holder di Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) baru-baru ini. Foto Bernama

Mengulas impak kepada pesakit, Dr Noor Dina berkata penggunaan teknologi berkenaan secara relatifnya dapat memendekkan tempoh pembedahan, mempercepatkan proses pemulihan serta mengurangkan kesakitan berbanding dengan kaedah konvensional.

“Bagi kes pesakit kami, ini merupakan pembedahan keduanya di bahagian sama dan tahap kesakitan dilaporkan sangat minimum, malah pesakit dibenarkan pulang pada keesokan hari,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa tidak semua prosedur telinga sesuai menggunakan teknologi itu kerana pembedahan piezo kurang efektif bagi kes melibatkan tulang yang terlalu padat atau tisu lembut.

Prosedur yang boleh memanfaatkan teknologi tersebut termasuklah pembedahan telinga cortical mastoidectomy, pembedahan hidung endoskopi sinus serta pembedahan melibatkan tulang mandibula atau dasar tengkorak (skull base).

“Teknologi ini tidak sesuai untuk prosedur tisu lembut seperti pembedahan tonsil, adenoid, polip hidung atau tumor. Ia juga kurang sesuai bagi kes yang memerlukan pemotongan tulang yang ekstensif dan padat kerana akan memakan lebih banyak masa pembedahan,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Konflik Asia Barat: bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.