HAZMAT sahkan gas metana dikesan di tapak pembinaan di Tudan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Gas yang dikesan keluar dari tanah di kawasan pembinaan Jalan Perdana, Tudan di sini disahkan mengandungi metana (CH4), dengan bacaan mencapai 100 peratus ketika pemeriksaan dilakukan Pasukan Bahan Berbahaya (HAZMAT), petang tadi.

Pasukan HAZMAT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut susulan penemuan gas di kawasan berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan berkenaan tiba di lokasi pada 6.00 petang sebelum menjalankan pemeriksaan kandungan gas menggunakan peralatan khas.

“Hasil pemeriksaan mendapati gas yang dikesan ialah gas metana (CH4), dengan bacaan Had Bawah Letupan (LEL) mencapai 100 peratus pada titik pemeriksaan di dalam silinder.

“Tiada kandungan gas lain dikesan sepanjang pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada pemeriksaan pertama, bacaan sebanyak 32.5 peratus direkodkan pada jarak satu meter, manakala bacaan mencapai 100 peratus pada jarak sifar atau di dalam silinder.

Pemeriksaan kedua pula merekodkan bacaan 32.5 peratus pada jarak tiga meter dan kembali mencatatkan 100 peratus di dalam silinder.

Keadaan dilaporkan terkawal pada 6.55 petang sebelum operasi ditamatkan pada 7.30 malam.

Oleh Liong Chai Ling