
PENYANYI Haziq Rosebi, 37, sememangnya begitu dikenali dan tidak asing lagi dengan kelunakan suaranya dalam mendendangkan lagu-lagu yang bergenrekan tradisional ataupun irama Malaysia.
Kekal setia melantunkan genre itu hampir dua dekad selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keempat, kemerduan suara pemilik nama Hazwan Haziq Rosebi ini bukan sahaja menggamit sanubari penggemar lagu itu akan tetapi juga, sentiasa menjadi pilihan undangan ke istana.
Tidak pernah jemu memperjuangkannya tatkala kerancakan aliran muzik moden, bagi pelantun yang terkenal dengan lagu Lemak Manis ini, usaha yang dilakukannya itu hanyalah ‘sebahagian kecil’ dalam memastikan irama tradisi yang merupakan khazanah warisan negara ini terus mekar merentasi masa.
“Saya betul-betul minat genre ini. Arwah ayah dan mak, sering tekankan lagu-lagu tradisional tidak boleh dilupakan kerana itu merupakan akar umbi kita. Kalau bukan kita orang muda yang memperjuangkan, siapa lagi?” katanya kepada Bernama.
Biarpun begitu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif ini mengakui bukan mudah untuk mendendangkan lagu genre tersebut apatah lagi, berhadapan dengan kesukaran untuk menjentik hati pendengar muda yang kebanyakannya lebih cenderung kepada muzik moden.

Tidak menyalahkan generasi tersebut, Haziq berkata perjuangan memartabatkan irama tradisional untuk terus kekal lestari keseinambungannya, memerlukan usaha holistik dan tidak hanya terbeban pada bahu penyanyi sahaja namun, memerlukan sokongan pelbagai pihak.
“Pendengar genre ini (tradisional) kebanyakannya berumur 40 tahun ke atas. Nak tarik orang muda, (memang) agak mencabar kerana mereka terdedah dengan pelbagai kandungan di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.
“Pihak televisyen dan radio juga menghadapi kekangan (untuk memutarkannya) kerana mereka memainkan lagu yang dinilai berdasarkan permintaan dan rating penonton,” katanya sambil menambah minat terhadap lagu tradisional perlu dipupuk sejak kecil lagi oleh ibu bapa dan pihak berkaitan.
Usaha ini menurutnya, boleh dilakukan dengan memperbanyakkan lagi pertandingan yang khusus untuk genre tradisional selain mendekati generasi muda dengan pelbagai platform antaranya, menerusi medium media sosial.
Bahkan ini juga yang dipraktikkan oleh Haziq apabila memanfaatkan platform TikTok dalam mempromosikan lagu-lagunya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga berjaya menjadi siulan ramai termasuklah dalam kalangan anak muda gen Alpha.
“Masa PKP, saya mula aktif di TikTok dan muat naik video menyanyi. Saya terkejut apabila ramai anak muda mula meminati lagu saya dan dari situlah saya sedar, mereka memang minat genre ini bagaimanapun, tidak jumpa saluran atau medium sesuai untuk menikmati lagu begini.
“Saya juga berpandangan pertandingan zapin atau joget misalnya, boleh membantu tingkatkan penyertaan orang muda. Kalau hadiah lumayan, saya percaya lebih ramai lagi yang akan menyertainya dan media juga perlu beri lebih banyak ruang dan peluang kepada genre ini,” katanya.
Mempunyai pengikut hampir 500,000 di aplikasi tersebut, Haziq berkata lagu tradisional sentiasa mendapat permintaan ramai dan ia bukanlah sekadar ‘demam bermusim’ bahkan sentiasa mendapat tempat terutamanya dalam majlis rasmi serta acara korporat.
Kerana itu, penyanyi ini menasihatkan mereka yang ingin menerokai irama sebegini tidak perlu bimbang dengan pasaran muzik tradisional kerana ia tetap menjadi pilihan biarpun tidak mendominasi carta muzik arus perdana.
“Saya banyak terlibat dengan persembahan perkahwinan dan korporat kerana genre ini sering menjadi pilihan untuk acara rasmi. Pasaran untuk artis tradisional tidak besar, jadi persaingan pun kurang. Apabila ada majlis bertema tradisional, nama artis yang sesuai untuk dijemput tidak ramai,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangannya terkini, Haziq berkata beliau sedang dalam perancangan menjayakan satu projek baharu selepas Aidilfitri iaitu sebuah lagu cover bersama seorang penyanyi wanita tempatan, bagaimanapun enggan mendedahkan lanjut mengenainya buat masa ini. – Bernama