
KITA akan meraikan Hari Sarawak, Selasa depan, 22 Julai.
Ia memperingati hari apabila Sarawak mencapai pemerintahan sendiri dan kemerdekaan de facto pada 22 Julai 1963, sebelum bersama-sama membentuk Malaysia.
Walaupun ia juga dirujuk sebagai ‘Hari Kemerdekaan’, penting untuk diingat bahawa ia bukan kemerdekaan penuh dari segi undang-undang (de jure), tetapi lebih kepada kemerdekaan dalam pemerintahan sendiri.
Sebelum 2016 dan berpuluh tahun lalu, tiada siapa hirau tarikh 22 Julai atau tepat lagi 22 Julai 1963.
Ia berlalu begitu sahaja, manakala sebilangan pakar sejarah membuat tafsiran tersendiri berdasarkan kajian ilmiah mengenai tarikh keramat itu.
Bukan salah siapa. Tetapi jika ada kemahuan di situ ada jalan. Ia perlu ‘political will’ (kehendak politik) untuk melakukan sesuatu hingga menjadi realiti.
Sebagai seorang bekas wartawan dan peguam, mungkin terdetik di hati Pehin Sri Adenan Satem untuk melakukan sesuatu demi Sarawak, ketika hayatnya.
Maka, Adenan yang ketika itu Ketua Menteri, mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak. Sambutan pertamanya ialah pada 22 Julai 2016 selepas tarikh itu diisytihar cuti umum bagi negeri ini.
“Pengisytiharan ini adalah untuk kenang jasa generasi lama yang berjuang untuk Sarawak,” kata Allahyarham Adenan atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Nan’ ketika itu.
Tetapi malangnya, Tok Nan tidak sempat untuk meraikan Hari Sarawak seterusnya apabila menghembus nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Sarawak. Al-fatihah.
Hasrat terpendam untuk mengadakan Hari Sarawak dipercayai sudah bermula sejak 2012 lagi.
Namun, sudah lapan tahun Tok Nan meninggalkan kita semua, tetapi jasa dan legasinya tetap dikenang.
Ungkapannya ‘jaga Sarawak bait-bait (Jaga Sarawak baik-baik) sentiasa dalam ingatan rakyat Bumi Kenyalang ini.

Satu lagi ungkapan keramat yang tidak pernah dilupakan ialah kata-kata pemimpin ulung Iban yang juga individu penting menyokong penubuhan Malaysia, mendiang Tun Jugah Barieng, yang berbunyi: ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ (Jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung).
UNGKAPAN BERSEJARAH
Dua ungkapan bersejarah ini mempunyai mesej penting untuk dipegang oleh sesiapa sahaja memimpin Sarawak pada masa akan datang dan pastikan hak Sarawak bukan sahaja dilindungi, malah dipertahankan daripada sebarang ‘pencerobohan’.
Ketika kita menyambut Hari Sarawak Selasa ini, kita perlu merenung sejenak apa pencapaian 62 tahun lalu dari segala segi setelah pembentukan Malaysia.
Apakah kita berpuas hati dengan sebahagian tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipenuhi?
Hakikatnya, sebahagian sudah dipenuhi seperti peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah dengan jumlahnya dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023.
Apakah kita berpuas hati dengan tahap pembangunan yang ada di Sarawak sekarang?
Tidak dapat dinafikan banyak lagi pembangunan perlu dilakukan kerajaan terutama di luar bandar dan pedalaman.
Namun, kita bersyukur apabila kerajaan Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk membina 16 jambatan utama membabitkan kos RM5.9 bilion.
Dalam tahun ini, sembilan lagi projek pembinaan jambatan giat dilaksanakan dijangka siap.
Rakyat Sarawak sudah selesa dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Hakikatnya, Tok Nan selaku Ketua Menteri Sarawak kelima, (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) telah membuka era ke arah usaha mendaulatkan Sarawak melalui tuntutan hak negeri ini.

Tok Nan adalah pemimpin pertama Sarawak yang ‘mengetuk’ pintu Putrajaya untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 tetapi terhakis.
Dari sinilah bermula era mengembalikan segala janji yang dimeterai seperti terkandung dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Namun, sayangnya, Tok Nan tidak sempat melihat hasilnya apabila menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (mulai 13 Januari 2017) mengambil alih jawatan Ketua Menteri keenam (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak), legasi Tok Nan untuk memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis, diteruskan.
ERA BERBEZA
Namun, bukan mudah sebenarnya untuk mencapai kemajuan apatah lagi mencurah pembangunan di wilayah yang hampir seluas seluruh Semenanjung Malaysia, dengan keadaan muka bumi berbukit bukau, hutan belantara dan pesisiran pantai. Inilah cabaran dihadapi pemimpin Sarawak.
Sarawak ketika dipimpin oleh Tan Sri Kalong Ningkan iaitu Ketua Menteri pertama (22 Julai 1963 – 23 September 1966) berdepan konfrontasi Indonesia dan gerakan komunis sehingga pada zaman pemerintahan Penghulu Tawi Sli (23 September 1966 – 7 Julai 1970).
Keadaan mula reda semasa pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakub (7 Julai 1970 – 26 Mac 1981) untuk menyatukan seluruh Sarawak dibawah sebuah kerajaan perpaduan Sarawak terutama dengan kejayaan menangani ancaman komunis melalui Perjanjian Damai Sri Aman pada 20 Oktober 1973.
Apabila Abdul Taib Mahmud (kemudian Tun Pehin Sri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak) mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak keempat pada 1981 (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014), Allahyarham membawa era politik pembangunan.
Usahanya tidak kurang hebat dengan keazaman membawa pembangunan ke seluruh pelosok negeri melalui pendekatan politik pembangunan.
Kemudian, masuk era Tok Nan (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) telah membuka era ke arah usaha mendaulatkan Sarawak melalui tuntutan hak negeri ini.
Dari sinilah bermula era mengembalikan segala janji yang dimeterai seperti terkandung dalam MA63 dan IGC.
Tok Nan dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak juga memulakan projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Kira-kira lima abad lalu, mungkin tiada siapa terfikir untuk memandu kereta dari Sibu ke Kuching dalam tempoh lima, enam jam sahaja. Begitu juga dari Kuching ke Miri atau Bintulu. Malah, tidak terfikir boleh pandu terus melalui darat dari Sibu ke pekan Kapit.

Era Abang Johari atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Abang Jo’ pula adalah era ‘Sarawak kaut emas’ daripada hasil bumi.
Di atas tanah, bawah tanah, di udara (spektrum), di laut… semuanya kini mendatangkan hasil melalui Cukai Jualan Negeri (SST) dari syarikat minyak dan gas, syarikat telekomunikasi dan syarikat mengendalikan hidrogen, industri karbon yang beroperasi di Bumi Kenyalang.
Dengan pelbagai strategi bagi meningkatkan lagi hasil, kerajaan Sarawak yakin pendapatan tahunan akan terus bertambah berdasarkan ‘new revenue engineering’ yang dilakukan kerajaan Sarawak.
Abang Johari lebih lagi ke hadapan mengikut perkembangan global dengan memperkenalkan ekonomi digital, tenaga hijau, industri karbon dan memperkenal hak perundangan ruang udara spektrum selain mewujudkan syarikat penerbangan sendiri Air Borneo.
Apakah erti semuanya ini? Inilah nikmat kemerdekaan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak