
MARUDI: Bulan Kebangsaan mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati semula makna Jalur Gemilang yang berkibar megah, kerana di bawah bayangannya tersimpan kisah perjuangan, pengorbanan dan harapan.
Ia bukan sekadar sehelai kain berwarna, sebaliknya menjadi lambang maruah, perpaduan dan identiti negara serta warganya.
Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Marudi, Fazzwan Yunus berkata Bulan Kebangsaan bukan sahaja memperingati sejarah tetapi menyemai semangat patriotisme dalam jiwa generasi muda.

“Marilah kita jadikan setiap detik sebagai peluang untuk memperkukuh semangat kebangsaan dan mempererat silaturahim antara masyarakat,” katanya berucap merasmikan majlis sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2055 di SK Dato Sharif Hamid Marudi hari ini.
Tambah beliau, majlis tersebut menzahirkan komitmen kerajaan untuk membina Negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sosial.

Katanya, Malaysia MADANI bukan sekadar slogan tetapi satu falsafah yang mengangkat martabat rakyat melalui pemikiran progresif, integarsi sosial dalam pembangunan inklusif.
Rakyat Disantuni pula jelasnya tiada siapa yang harus tertinggal dalam arus pembangunan Negara.
“Melalui pendidikan berkualiti, bantuan sosial dan akses kesihatan yang menyeluruh, kita bertekad membina masyarakat yang sejahtera dan bersatu padu, dan inilah semangat Malaysia MADANI yang kita junjung bersama,” katanya.
Turut hadir Pegawai Penerangan Marudi, Siti Mariam Mahdar, Guru Besar SK Dato Sharif Hamid, Jafarin Mohamad, Ketua Masyarakat Melayu Marudi, Pemanca Jamel Sabil, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Oleh Jiku Juguong