Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • HAWANA 2025 buka tirai esok, himpun lebih 1,000 pengamal media
  • SEMASA

HAWANA 2025 buka tirai esok, himpun lebih 1,000 pengamal media

Utusan Sarawak 3 days ago
PAPAN iklan memaparkan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dipasang di sekitar Kuala Lumpur hari ini. Sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan media dalam pembangunan negara, HAWANA disambut setiap tahun pada 29 Mei, dan sambutan utama tahun ini dijadual berlangsung pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, lebih 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa dijangka menghadiri acara anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara membuka tirainya esok di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, edisi kelima anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana berlangsung hingga Ahad.

Pembukaan tirai sambutan bermula dengan Karnival HAWANA 2025 yang akan berlangsung di ruang legar Sunway Putra Mall bermula 10 pagi hingga 10 malam, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran pada 3 petang esok.

Sebanyak 20 reruai pameran disediakan, antaranya Bernama TV, Bernama Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Media Prima Berhad dan The New Straits Time Press Berhad,  Media Selangor Sdn Bhd, TV Al-Hijrah, Vanakkam Malaysia, MYTV, Jabatan Penerangan (JaPen) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beberapa syarikat syarikat swasta seperti UDA Holding Berhad, MK Curtain, syarikat pelancongan SelamatBercuti.com dan See Hua Group turut mengambil bahagian bagi memeriahkan Karnival HAWANA 2025 yang menyasarkan 5,000 penunjung. 

Sementara itu, Forum Media HAWANA 2025 akan berlangsung pada Sabtu di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL seawal 9 pagi membincangkan tajuk Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector? sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian teknologi bertajuk AI & Media: Tool, Threat or opportunity?.

Forum anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu turut menjadi platform kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (MMM) mengutarakan pandangan berhubung masa depan media selepas Rang Undang-Undang (RRU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan di Parlimen Februari lepas. 

Kemuncak HAWANA 2025 pada Sabtu pastinya tertumpu kepada perasmian sambutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka WTCKL dengan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Chieng juga dijangka hadir.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media di negara ini. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijangka menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan veteran yang memerlukan bantuan selain menyampaikan hadiah kepada pemenang Pesta Pantun HAWANA-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang julung kali diadakan pada 31 Mei lepas.

Sambutan HAWANA tahun ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah HAWANA 2025 dan Anugerah Khas HAWANA 2025 kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan, malah turut memainkan peranan membentuk minda masyarakat melalui karya mereka.

Bagi memeriahkan lagi kemuncak sambutan HAWANA 2025, dua penyanyi tersohor tanah air, iaitu Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain akan turut membuat persembahan. 

Sambutan HAWANA 2025 bukan berakhir selepas acara kemuncak, tetapi diteruskan sepanjang tahun dengan acara sukan media yang mengetengahkan elemen tradisional dan siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor. 

Hampir 100 rakan strategik menaja serta memberikan sumbangan untuk menjayakan HAWANA 2025,  meningkat berbanding 44 tahun lepas sekali gus membuktikan bahawa HAWANA kini semakin mendapat perhatian bukan sahaja daripada jabatan dan agensi kerajaan, tetapi syarikat korporat. 

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.

Bagi menyemarakkan kemuncak HAWANA 2025, gegantung promosi sambutan dipasang di beberapa lebuh raya, antaranya PLUS, MEX serta jalan-jalan utama sekitar ibu kota dan tidak ketinggalan paparan di skrin LED.– Bernama

Continue Reading

Previous: Buat senarai semak ibadah haji sebelum pulang ke Malaysia
Next: Sambutan hari TVET memberangsangkan, sasaran 150,000 pengunjung

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.