PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski (kiri) dijatuhkan oleh pertahanan RB Salzburg, Maximilian Woeber memberikan sepakan penalti untuk gol pertama tuan rumah semasa perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA antara Bayern Munich dan RB Salzburg di Munich, selatan Jerman. • Foto AFP
ROBERT Lewandowski menjaringkan hatrik dalam temoh 11 minit yang memecahkan rekod untuk membantu Bayern Munich mara ke suku akhir Liga Juara-Juara UEFA dengan kemenangan 7-1 di tempat sendiri ke atas Red Bull Salzburg semalam.
Penyerang antarabangsa Poland itu menjaringkan tiga gol selepas 23 minit perlawanan berlangsung — yang paling awal pernah menjaringkan hatrik dalam perlawanan Liga Juara-Juara — ketika Bayern menghilangkan rasa gelisah mereka untuk menumpaskan Salzburg.
“Ini sudah pasti kenyataan daripada kami, dan ia memberi kami harapan bahawa ada lebih banyak perkara seperti ini akan datang,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer kepada Amazon Prime selepas pasukannya mara ke peringkat lapan pasuan terakhir untuk rekod kali ke-20.
Juara Austria, Salzburg telah mengikat Bayern dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama, tetapi harapan mereka melakukan kejutan di Munich musnah apabila Lewandowski menjaringkan gol pertama dan dua sepakan penalti selepas itu untuk membolehkan Bayern meraih kemenangan selesa.
Dengan hanya sepuluh minit dan 27 saat antara gol pertama dan ketiga Lewandowski, ia adalah yang terpantas daripada enam hatrik yang kini dijaringkan oleh pemain dari Poland itu dalam Liga Juara-Juara.
“Kami tahu kami perlu menyerang daripada awal hari ini dan membawa Lewy ke dalam permainan, kerana dia sangat sukar untuk dikawal,” kata Thomas Mueller.
“Kami semua tahu betapa pentingnya perlawanan ini hari ini. Jika kami tersingkir, ia akan menjadi tiga bulan yang sangat menyedihkan bagi kami,” tambahnya. – AFP