Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • ‘Hatrik’ Haaland hancurkan Liverpool, City mara ke separuh akhir
  • SUKAN

‘Hatrik’ Haaland hancurkan Liverpool, City mara ke separuh akhir

Utusan Sarawak 9 hours ago
PENYERANG Manchester City, Erling Haaland meraikan hatrik ketika menentang Liverpool. Foto AFP

LONDON: Erling Haaland meledak hatrik ketika Manchester City membelasah Liverpool 4-0 untuk mara ke separuh akhir Piala FA, sekali gus menambah tekanan ke atas pengurus Reds, Arne Slot.

Penyerang Norway itu menjaringkan dua gol lewat babak pertama sebelum melengkapkan hatrik selepas rehat, sementara Antoine Semenyo turut mencetak nama sebagai penjaring.

Penderitaan Liverpool bertambah apabila Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diselamatkan penjaga gol City, James Trafford.

Kekalahan memalukan itu menyaksikan Slot terus diasak kritikan, malah penyokong tuan rumah mengejeknya dengan laungan “dipecat pagi esok”.

Liverpool kini dalam prestasi hambar dengan hanya dua kemenangan daripada tujuh aksi terakhir dan berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

City pula meneruskan dominasi dengan mara ke separuh akhir Piala FA buat kali kelapan berturut-turut serta mencatat rekod 18 kemenangan berturut-turut di laman sendiri dalam kejohanan itu.

Anak buah Pep Guardiola kini kembali berada di landasan tepat untuk menutup musim dengan trofi.

Liverpool bakal berdepan ujian getir apabila bertandang ke gelanggang Paris Saint-Germain dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara minggu depan, dengan Slot terdesak memburu kemenangan bagi meredakan tekanan.

Haaland terus ‘mengganas’

Liverpool sebenarnya bermula garang, namun kegagalan menyempurnakan peluang awal menghukum mereka.

Peluang keemasan Salah seawal minit ke-14 tersasar, manakala percubaan Hugo Ekitike turut gagal menemui sasaran.

City membuka jaringan pada minit ke-39 apabila Haaland menyempurnakan penalti selepas kekasaran Virgil van Dijk.

Penyerang itu kemudian menggandakan kelebihan sebelum rehat menerusi tandukan tepat hasil hantaran silang Antoine Semenyo.

Babak kedua menyaksikan Liverpool terus longlai apabila Semenyo menambah gol ketiga sebelum Haaland melengkapkan hatrik pada minit ke-57, gol ke-28 hatrik dalam kariernya.

Salah yang bakal meninggalkan Liverpool hujung musim ini terus bergelut, dengan kegagalannya menyempurnakan penalti menjadi simbol prestasi hambar pasukan itu.

-AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: 46 negara “hangatkan” saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Nilai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.