Hati-hati hasilkan Jalur Gemilang guna AI – Fahmi 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

IPOH: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan berkaitan Jalur Gemilang bagi memastikan reka bentuk dan elemen pada bendera kebangsaan itu dipaparkan dengan tepat.

Beliau berkata, pembuat kandungan perlu memastikan penggunaan AI tidak menyebabkan berlakunya kesilapan termasuk ketidaktepatan jumlah 14 jalur pada Jalur Gemilang, yang menjadi elemen penting bendera berkenaan.

“Kita juga galakkan bagi program Kibar Jalur Gemilang ini rakyat mengambil sedikit masa untuk mendapat maklumat tentang tatacara kibaran Jalur Gemilang yang betul dan juga sentiasa berhati-hati menjana kandungan menggunakan AI supaya tidak ada kesilapan ataupun kekurangan 14 jalur pada Jalur Gemilang, hal ini sangat penting.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak MPI (Institut Akhbar Malaysia) dan juga Majlis Media Malaysia untuk berbincang dengan syarikat media, pastikan sepanjang Bulan Kebangsaan ini apa-apa representasi Jalur Gemilang, terutama yang dihasilkan melalui AI dilakukan dengan betul,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di sini, hari ini. 

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. 

Ditanya tentang tindakan yang akan dikenakan sekiranya berlaku kesilapan dalam penghasilan kandungan atau pengibaran Jalur Gemilang, Fahmi berkata kementerian akan mengambil pendekatan menasihati pihak terbabit supaya membuat pembetulan terlebih dahulu.

“Ya, ada aktanya tersendiri, tetapi kita akan ambil langkah pertama, iaitu menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan mana-mana pihak sekiranya mereka tersalah menghasilkan kandungan ataupun tersalah mengibarkan bendera untuk menasihati mereka supaya memperbetul (tindakan mereka itu).

“Sekiranya tidak diperbetul atas apa-apa sebab kemudian kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil, tetapi kita mulakan dengan menasihatkan,” katanya.

Berhubung sambutan HKHM 2026, beliau menggalakkan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang bermula hari ini sekurang-kurangnya hingga 16 September melalui Program Kibar Jalur Gemilang sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme di kawasan perumahan, kampung dan premis kerajaan.

Fahmi berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Putrajaya, manakala Hari Malaysia akan disambut di Sarawak dengan lokasi penganjuran masih dalam perbincangan.

Layari https://www.merdeka360.my/web/ untuk memuat turun logo rasmi, lagu patriotik dan pelbagai bahan promosi bagi menyemarakkan semangat kebangsaan. – Bernama