
KUCHING: Persatuan Haiwan Berperikemanusiaan Sarawak (HASS) menyambut baik dua pengumuman penting kerajaan Sarawak yang disifatkan sebagai langkah bersejarah dan berasaskan sains dalam memperkukuh kebajikan haiwan serta pengawalan rabies di negeri ini.
Dua inisiatif tersebut ialah penubuhan Institut Veterinar pertama Sarawak di Semenggoh serta pelaksanaan program rintis CNVR (Tangkap, Kembiri, Vaksin dan Lepas) melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) badan perlindungan haiwan tertua di negeri ini yang ditubuhkan sejak 1959.
Presiden HASS, Anna Wee, menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, atas komitmen mereka dalam membawa pendekatan holistik dan berperikemanusiaan terhadap isu populasi haiwan terbiar dan pengawalan rabies.
“Kami amat menghargai inisiatif ini yang mewakili satu titik perubahan penting ke arah penyelesaian mampan berasaskan data, sains dan belas ihsan,” ujar Anna.


PERSATUAN Haiwan Berperikemanusiaan Sarawak (HASS) menyambut baik dua pengumuman penting kerajaan Sarawak yang disifatkan sebagai langkah bersejarah dan berasaskan sains dalam memperkukuh kebajikan haiwan serta pengawalan rabies di negeri ini.
Beliau turut menekankan kepentingan dapatan terkini yang diiktiraf oleh Dr. Sim, bahawa hampir 46 peratus kes rabies terkini berpunca daripada haiwan peliharaan, bukan haiwan terbiar.
Fakta ini, katanya, membuktikan keperluan mendesak terhadap pendidikan masyarakat, vaksinasi serta pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.
Sementara itu, Zarina Jahan, penyelamat haiwan dan pengasas kumpulan Geng Pusak Jalanan Sarawak (yang kini mempunyai lebih 64,000 ahli di Facebook), berkata ramai penyelamat bebas serta NGO kebajikan haiwan di seluruh Sarawak telah lama menjalankan vaksinasi dan kembiri terhadap kucing dan anjing jalanan secara sukarela di komuniti masing-masing.
“Selama ini, ramai penyelamat hidup dalam ketakutan apabila haiwan jalanan sering dipersalahkan sebagai punca rabies. Mereka berdepan kekecewaan akibat tindakan pelupusan haiwan secara melulu tanpa mengambil kira tanda vaksinasi atau kembiri,” katanya.

Menurut HASS, cadangan pelaksanaan program TNVR (Tangkap, Kembiri, Vaksin dan Lepas) secara sistematik telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Ogos 2024, dengan menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan kebajikan haiwan.
Pengumuman terbaru kerajaan negeri ini, menurut HASS, merupakan hasil kesepakatan dan perjuangan berterusan masyarakat sivil serta NGO kebajikan haiwan di Sarawak.
“Buat pertama kali dalam sejarah, pembuat dasar dan pertubuhan kebajikan haiwan dapat melangkah seiring berpaksikan sains, kasih sayang dan matlamat bersama demi mencapai Sarawak bebas rabies menjelang 2030,” tegas HASS.