
LONDON (Stratford): Hasrat untuk menubuhkan sebuah Pusat Cerita Kanak-Kanak dilihat mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak, khususnya dalam aspek perkembangan bahasa dan literasi.
Pusat cerita kanak-kanak ini menekankan peranan aktiviti bercerita, pembelajaran berasaskan permainan dan kreativiti sebagai asas penting dalam perkembangan bahasa dan literasi awal kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak dalam lawatan ke Pusat Cerita Kanak-Kanak Discover di sini, semalam.
Katanya, dalam sesi lawatan tersebut, penekanan diberikan kepada bagaimana model seperti ini boleh diadaptasi dan diaplikasikan bagi memperkukuh inisiatif pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
“Pusat ini, khusus untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 11 tahun bersama keluarga mereka, menawarkan pengalaman interaktif melalui pameran, cerita dunia dengan pelbagai zon bertema, serta taman cerita di kawasan luar.
“Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk sesi bercerita, membuat patung sudu, meneroka pantai mini dan kapal lanun, serta berimaginasi melalui kilang cerita untuk penulisan dan lolipop untuk penjelajahan.
“Pusat Cerita Kanak-Kanak Discover di Stratford, London, sebuah pusat cerita kanak-kanak yang terkenal dengan pendekatan inovatif dalam pendidikan awal,” katanya.
Datuk Rosey yang mengetuai delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak menambah, agenda lawatan ini merangkumi sesi lawatan berpandu dan penggambaran berkumpulan.
“Hasil yang dijangkakan daripada lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada delegasi mengenai pendekatan baharu dalam meningkatkan literasi, kreativiti dan permainan imaginatif dalam kalangan kanak-kanak.”
“Selain itu, turut menekankan peranan aktiviti bercerita, pembelajaran berasaskan permainan dan kreativiti sebagai asas penting dalam perkembangan bahasa dan literasi awal kanak-kanak.
“Delegasi turut meneliti strategi yang digunakan untuk menggalakkan penglibatan keluarga dan komuniti, serta meninjau amalan terbaik dalam mewujudkan ruang pembelajaran yang menyeronokkan,” jelasnya lagi.
Justeru, penekanan turut diberikan kepada bagaimana model sebegini boleh diadaptasi dan diaplikasikan bagi memperkukuh inisiatif pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak, tambahnya lagi.
Oleh Adum Liu