SIBU: Hasrat seorang penjawat awam untuk menambah pendapatan tidak kesampaian apabila dia terpedaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian tidak wujud sehingga kerugian RM34,800.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa seorang wanita warga tempatan berumur dalam lingkungan 40-an telah menerima panggilan melalui aplikasi telegram yang menggunakan nama Amirul Irsyad menawarkan pekerjaan sambilan menjanjikan pendapatan lumayan.
“Mangsa tertarik dan diminta untuk menyertai kumpulan telegram TMO Mission Group untuk penerangan tugasan dengan menekan pautan dan klik butang ‘Like & Share’.
“Setelah tugasan selesai dibuat, mangsa telah memperolehi komisen dan suspek kemudiannya menawarkan pekerjaan tambahan dengan menderma atas nama Capillary Asset Management kepada orang yang memerlukan,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran terdahulu ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak dua kali transaksi secara keseluruhan sejumlah RM34,800 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah selesai membuat tiga tugasan, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat sekali lagi pemindahan wang untuk tugasan derma yang berjumlah RM34,000.
“Sekiranya mangsa gagal menyelesaikan misi tersebut, wang mangsa tidak akan dikembalikan,” kata beliau.
Katanya, mangsa berasa curiga dan sedari telah terpedaya oleh suspek membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman