
KUCHING: Hasil wilayah Sarawak meningkat lebih dua kali ganda daripada RM6 bilion kepada RM14.2 bilion pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan fiskal dan ekonomi negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pencapaian itu membuktikan Sarawak berada di landasan kukuh hasil pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan hijau, lestari dan berteraskan inovasi.
“Pada masa yang sama, bajet tahunan Sarawak berjumlah RM15.8 bilion pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah negeri kita.
“Alhamdulillah, pendapatan Sarawak yang terus meningkat ini dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, khususnya dalam penyediaan infrastruktur, bekalan elektrik dan air bersih dan pembangunan bakat atau pembangunan bakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Bank Dunia mengiktiraf Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022.
“Pada 2024, Pendapatan Negeri Kasar (GNI) Sarawak mencecah RM73,100, melebihi nilai ambang RM63,800 yang ditetapkan oleh Bank Dunia.
“Namun, yang lebih penting, kita mahu kemakmuran ini dirasai oleh semua rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang.
“Prinsip kita jelas, iaitu kemakmuran Sarawak mestilah kemakmuran yang inklusif, yang mana tiada sesiapa pun yang ketinggalan,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Premier turut menzahirkan penghargaan kepada Tun Wan Junaidi atas kepimpinan beliau yang menjadi lambang perpaduan dan kedaulatan negeri.
“Semangat muafakat antara kerajaan dan rakyat menjadi asas kepada kejayaan Sarawak dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk.
“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan dan keazaman untuk membina masa depan Sarawak yang lebih makmur, berdaya tahan dan berdaulat,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Masrin Affirah / Shikin Mahmud