KUCHING: Hasil tenun songket Sarawak antara penyumbang kepada sejumlah 11.7 peratus eksport Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) dengan nilai RM124.3 bilion pada 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, tenun songket Sarawak yang dieksport memiliki nilai komersial yang tinggi.
“Nilai estetika songket Sarawak ini menjadikannya antara produk tempatan yang mendapat tempat di pasaran luar negara.
“Kini songket Sarawak juga telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) di peringkat global sehingga mampu mencipta sosioekonomi tempatan dan menyumbang kepada ekonomi pelancongan,”katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Karnival Barangan Malaysia ‘Juh Sapot Beli Barang Lokal’ di Kuching Waterfront malam ini.
Nanta berkata eksport sektor PKS tahun lalu menyumbang sebanyak 11.7 peratus kepada hasil eksport keseluruhan negara dengan nilai sebanyak RM124.3 billion.
“Ia merangkumi sektor Pembuatan 9.0 peratus, Perkhidmatan 2.5 peratus dan Pertanian 0.3 peratus.
“Barangan tempatan juga dapat membantu ekonomi kekal berlegar di dalam negara tanpa banyak pengaliran wang keluar.
“Sudah tentu, sebagai pengguna di negara ini, kita pastikan setiap perbelanjaan juga adalah lebih nilai untuk wang, berpatutan dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, objektif kempen beli barangan Malaysia ini juga adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
“Ini dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kualiti produk serta perkhidmatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga hingga ke luar negara.
“Saya meminta rakyat Malaysia bersama-sama membantu membangunkan ekonomi negara dengan menyokong barangan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Karnival Barangan Malaysia merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan diterajui oleh KPDNHEP.