Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hasil pertanian tempatan tidak dikenakan cukai jualan di bawah peluasan SST
  • SEMASA

Hasil pertanian tempatan tidak dikenakan cukai jualan di bawah peluasan SST

Utusan Sarawak 1 day ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa hasil pertanian yang ditanam di Malaysia tidak akan dikenakan cukai jualan di bawah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kementerian itu berkata terdapat laporan berita yang mempersoalkan pelaksanaan cukai jualan ke atas buah-buahan tempatan.

“Ini mungkin timbul akibat daripada kekeliruan buah-buahan tropika yang dimasukkan dalam perintah warta cukai jualan, yang menyenaraikan item tersebut tertakluk kepada cukai jualan 5.0 peratus.

“Di bawah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai, 2025, cukai jualan dikenakan ke atas barangan keluaran tempatan dan barangan import,” katanya dalam satu kenyataan.

MOF berkata hasil pertanian yang ditanam di Malaysia tidak dikilangkan, oleh itu ia tidak tertakluk kepada cukai jualan.

“Sehubungan itu, MOF ingin mengesahkan bahawa buah-buahan yang ditanam di dalam negara dikecualikan daripada cukai jualan. Bagaimanapun, jika buah-buahan itu diimport, maka ia akan dikenakan cukai jualan. Ini termasuk buah-buahan tropika seperti pisang, nanas dan rambutan,” katanya.

  MOF juga memberikan penjelasan berhubung kebimbangan syarikat masa tidak mencukupi untuk melaksanakan cukai perkhidmatan menjelang 1 Julai 2025.

“Bagi syarikat yang pada masa ini tidak berdaftar di bawah SST tetapi menyediakan salah satu perkhidmatan baharu yang boleh dikenakan cukai, seperti penyewaan, pada Julai 2025, mereka perlu terlebih dahulu menentukan sama ada mereka telah mencapai ambang hasil RM500,000 untuk sewaan dalam tempoh dua belas bulan.

“Sekiranya mereka telah mencapai ambang hasil pada Julai, maka syarikat itu perlu mendaftar selewat-lewatnya pada Ogos dan hanya mula mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan mereka mulai 1 Sept, 2025, iaitu lebih daripada dua bulan dari sekarang,” kata kementerian itu.

Selain itu MOF berkata menyedari keperluan untuk memberikan sedikit masa kepada syarikat yang terjejas bagi memahami bagaimana semakan SST mungkin dikenakan kepada mereka, kerajaan akan memberikan tempoh tangguh sehingga Disember 2025.

“Kerajaan tidak akan mengenakan penalti ke atas syarikat yang benar-benar telah berusaha untuk mematuhi SST yang disemak semula itu,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak, Universiti Fudan meterai perjanjian tubuh pusat penyelidikan perubatan
Next: ‘Yellow journalism’ kembali menghantui dalam era digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.