
LIMBANG: Penduduk di Daerah Limbang digesa memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Projek Lebuh Raya Trans Borneo, yang dijangka bermula tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, projek strategik ini akan menghubungkan Miri, Brunei dan Limbang menerusi laluan jalan raya berkembar empat lorong, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan mobiliti rantau utara Sarawak.
“Saya difahamkan projek ini kini sudah berada di peringkat akhir di Kementerian Ekonomi dan telah diluluskan. Hanya menunggu pelaksanaan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Bunga Raya, semalam.
Laluan tersebut akan bermula dari Tedungan hingga ke bandar Limbang yang melibatkan kerja pelebaran jalan, pemindahan utiliti serta pengosongan kawasan tepi jalan termasuk perobohan gerai, pondok dan tanaman yang terlibat.
Hasbi memaklumkan pelaksanaan projek ini mungkin memberi gangguan sementara kepada penduduk dan pengguna jalan raya, namun menegaskan manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar.
“Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga turun ke Limbang bagi meninjau laluan CIQ Pandaruan, yang menjadi sebahagian penting dalam projek ini.”
Projek Lebuh Raya Trans Borneo akan diteruskan hingga ke Pandaruan, berhampiran Daerah Temburong, Brunei, dan dijangka menjadi penghubung utama antara Sarawak dan Sabah melalui Brunei Darussalam.
Untuk rekod, projek ini sebelum ini dikenali sebagai Lebuh Raya Pan Borneo di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu dan kini dijenamakan semula sebagai inisiatif Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Oleh Adeng Edrus