
LIMBANG: Keperluan untuk mempercepatkan pembinaan blok baharu Hospital Limbang yang telah lama diluluskan menjadi keutamaan rakyat di kawasan itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurut beliau, kerja awalan dan pengukuran di tapak belakang hospital sedia ada telah pun dimulakan, namun pembinaan sebenar masih menunggu proses reka bentuk lengkap.
“Saya difahamkan oleh Pengarah Hospital bahawa kerja awalan dan pengukuran untuk blok hospital bertingkat sudah dilakukan. Namun kita masih menunggu peringkat rekabentuk dan pelaksanaan pembinaan,” katanya.
Tambah Hasbi, isu kekurangan kemudahan kesihatan ini telah lama disuarakan, dan menjadi antara perkara pertama yang diperjuangkannya sejak dilantik sebagai wakil rakyat.
“Kita tahu penduduk Limbang sering dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. Sebab itu saya dan ADUN Limbang tidak pernah berhenti bersuara di peringkat Parlimen dan Persekutuan agar projek ini dilaksanakan segera,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Bunga Raya, semalam.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menyediakan peruntukan tambahan untuk membina lebih banyak bilik pakar, memandangkan Hospital Limbang kini sudah memiliki lapan perkhidmatan kepakaran, termasuk pediatrik, psikiatri, sakit puan, radiologi, pembedahan, bius, perubatan dan ortopedik.
Pada majlis itu juga, sebanyak RM401,000 disalurkan kepada 68 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab serta lembaga pengurusan sekolah.
Oleh Adeng Edrus