
KUALA LUMPUR: Hartanah Kenyalang Bhd menjangka perang yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan menjejaskan margin syarikat namun kesan itu akan dikurangkan melalui pelaksanaan langkah penjimatan kos.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Seah Boon Tiat berkata berikutan syarikat mendapat kontrak projek Stadium Sarawak, syarikat itu bercadang untuk mensubkontrakkan sebahagian kerja tertentu untuk mengawal dan menetapkan kos pada tahap tertentu dengan lebih baik.
“Kami telah menempah lebih awal kebanyakan daripada material untuk projek ini (Stadium Sarawak) sebelum perang tercetus.
“Selepas disahkan menerima projek ini, kebanyakan bahan telah dibeli memandangkan projek ini hanya berlangsung selama setahun, dan kami tidak sempat untuk mendapatkan pilihan lain,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.
Anak syarikat milik penuh Hartanah Kenyalang, Hartanah Construction Sdn Bhd telah menerima kontrak bernilai RM184.3 juta daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak untuk menaik taraf dan membaiki Stadium Sarawak, dengan tempoh kontrak selama 12 bulan bermula 30 Jan 2026 hingga 29 Jan 2027.
Seah turut berharap kerajaan akan terus menggunakan mekanisme Variasi Harga (VOP) kepada kontraktor berikutan langkah ini boleh membantu mengurangkan impak keseluruhan terhadap industri.
“Apabila berlaku kejadian seperti perang atau Perintah Kawalan Pergerakan, harga boleh berubah dengan ketara. Kerajaan mungkin melaksanakan VOP untuk membantu kontraktor.
“Lazimnya, kerajaan akan menilai keadaan berikutan tidak mahu kontraktor meninggalkan projek atau menjadi ‘projek sakit.’ Jika tidak, kerajaan mungkin menanggung kos yang lebih tinggi untuk melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Desmond Foo berkata wujud sedikit tekanan terhadap margin akibat konflik yang sedang berlaku, tetapi syarikat itu terus melaksanakan langkah untuk mengurangkan kesannya melalui pemasang-siapan bagi menjimatkan masa dan kos buruh.
“Ini adalah antara langkah yang kami laksanakan. Tahap dan tempoh tekanan margin masih tidak menentu namun selagi projek masih menguntungkan, kami akan meneruskannya,” katanya.
Menurutnya margin keuntungan kasar dalam sektor pembinaan dijangka tidak menentu.
“Margin bergantung kepada jumlah jangkaan kos projek. Selagi kami dapat mengawal kos untuk menyiapkan projek, kami boleh menguruskan keuntungan yang diiktiraf.
“Bagaimanapun, jika margin adalah negatif, kesannya akan dilihat dalam akaun syarikat,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2025, Hartanah Kenyalang merekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 12.8 peratus.
Jumlah nilai perolehan kontrak yang belum selesai berjumlah RM563.05 juta pada 31 Januari 2026.
Hartanah Kenyalang mendapat beberapa projek antaranya Projek Pelancongan Sadong (RM8.97 juta), Projek Imigresen Serikin (RM42.79 juta), Projek Stadium Sarawak (RM184.32 juta) dan Projek Penjara Sibu (RM275.33 juta) pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Setakat 31 Januari 2026, jumlah tender projek di Sarawak bernilai RM3.94 bilion, merangkumi 10 projek dengan RM1.08 bilion daripada lima projek reka bentuk dan bina manakala di Semenanjung Malaysia, berjumlah RM0.43 bilion.
Desmond berkata dalam melangkah maju, syarikat itu memberi tumpuan kepada projek air memandangkan kerajaan negeri Sarawak sedang giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak bagi memastikan bekalan yang mampan dan tiada gangguan.
Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Sarawak menerima peruntukan melibatkan 44 projek pembangunan air dan pembentungan bernilai hampir RM6 bilion.
“Kami menyasarkan kerja-kerja paip, menaik taraf dan penggantian selain loji rawatan air.
“Walaupun bidang ini masih baru untuk syarikat, kami sebelum ini terlibat dengan projek air terutama melibatkan tangki ternaik dan menyasarkan untuk mendapat lebih banyak projek dalam segmen ini,” kata Desmond.
Beliau berkata syarikat itu sedang meneroka peluang dalam tenaga boleh baharu (TBB) berikutan kedudukan Sarawak sebagai hab TBB bagi pelabur antarabangsa, disokong oleh sumber seperti hidro, solar, biojisim, gas asli dan hidrogen.
Sarawak menyasarkan untuk mencapai 10 gigawatt (GW) daripada jumlah kapasiti terpasang menjelang 2030 dan 15 GW menjelang 2035.
Di bawah Dasar Peralihan Tenaga Sarawak yang akan datang, sumber boleh baharu dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus daripada kapasiti penjanaan menjelang 2030.
“Sehubungan itu, Hartanah sedang giat meninjau peluang dan telah mula membida tender projek pencawang di seluruh Sarawak.
“Pencawang adalah sebahagian daripada rangkaian pengagihan elektrik, menerima tenaga daripada pengeluar TBB dan menyampaikannya kepada pengguna akhir,” katanya.- Bernama