KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) akan membayar balik sehingga RM40 juta yuran pengambilan kerja yang sebelum ini dibayar oleh pekerja asing kepada ejen pekerjaan semasa proses pengambilan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, langkah itu adalah sejajar dengan Dasar Pengambilan Kos Sifar yang dibentuk pada April 2019, untuk melindungi kebajikan pekerja asing dan memastikan mereka bebas daripada sebarang kos pengambilan kerja.
“Syarikat komited untuk terus meningkatkan dasar pematuhan sosial kami sejajar dengan penanda aras antarabangsa. Ini merupakan proses berterusan yang kami sentiasa menambah baik dan kami gembira untuk memaklumkan kemajuan kami setakat ini dengan pembayaran balik yuran pengambilan kerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kuan berkata isu yuran pengambilan dibayar kepada pihak ketiga oleh pekerja asing adalah isu global yang kompleks, memerlukan penglibatan pelbagai pemegang berkepentingan bagi mencari penyelesaian kerana ia adalah tanggungjawab yang dikongsi bersama dan pada tahun lepas Hartalega telah berbincang dengan pelbagai pemegang kepentingan berhubung perkara itu.
Menurutnya, awal tahun ini, syarikat itu melantik pertubuhan bukan keuntungan pihak ketiga dengan rekod pematuhan sosial dan pemulihan yuran pengambilan yang telah terbukti bagi menjalankan temu duga dengan pekerja yang terlibat.
“Meskipun penangguhan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), temu duga ini dijalankan pada Jun 2020.
“Kami menyasar memulakan pemulihan pada suku keempat 2020 dan dijangka selesai dalam tempoh 24 bulan. Sementara itu, kami juga bekerjasama dengan pihak bebas lain bagi menyemak semula pelan pemulihan kami,” katanya. – Bernama