FENOMENA hartal di dalam sejarah dunia bukan satu tindakan yang baharu. Di Varanasi, India terdapat bantahan kepada kenaikan cukai dikenakan oleh kerajaan British yang membawa kepada hartal yang berlansung dari 1810-1811. Sri Lanka juga pernah mengalami harta pada tahun 1953.
Di Sarawak tindakan hartal juga digunakan oleh peniaga-peniaga di Sarawak pada tahun 1955. Tujuan mengadakan bantahan menggunakan hartal ini dibuat kerana tidak bersetuju dengan pengenalan ordinan baharu kerajaan yang mengenakan yuran lesen peniagaan yang tinggi kepada peniaga Sarawak.
Hartal merupakan satu bantahan awam yang bersifat mogok aman tanpa pertumpahan darah dan kacau bilau. Tambahan daripada itu ia juga adalah bantahan yang melibatkan banyak pihak seperti penutupan kedai-kedai dan perusahan bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk memenuhi tuntutan mereka.
Imbangan
Pada hujung tahun 1954 Council Negri telah melakukan semakan kepada kadar bayaran yuran lesen perniagaan di Sarawak. Semakan ini dibuat kerana berlaku ketidak seimbangan dalam hasil dan perbelanjaan negeri Sarawak.
Usaha membuat semakan ini dilakukan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan dan pelaksanaanya dijangka akan meningkat sebanyak $3.5 jutan setahun. Hasil ini akan digunakan untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan sosial dan pentadbiran yang lebih baik untuk rakyat Sarawak.
Setiausaha Kewangan J. C. H. Barcoft menyatakan dalam sidang Council Negeri yang berlangsung pada awal bulan Disember 1954 bahawa terdapat dua kadar bayaran yuran lesen peniagaan yang berbeza diperkenalkan. Sebelum kenaikan dibuat para peniaga-peniaga di Kuching, Sibu, Miri dan Sarikei dikenakan $400 setahun. Bagi bandar-bandar kecil lain hanya dikenakan sebanyak $200 setahun.
Sementara itu pengenalan kadar bayaran baharu pula membawa kepada lonjakan sebanyak seratus peratus kadar bayaran lesen tersebut. Ini bermaksud pemborong akan membayar sebanyak $4000 untuk bandar-bandar besar dan $2000 untuk peniaga-peniaga di bandar-bandar kecil lain. Kadar kenaikan yuran lessen ini dikuat kuasakan pada 1 Januari 1955. Manakala syarikat berhad tidak dikenakan yuran tersebut kerana telah membayar cukai pendapatan.
Penutupan Perniagaan
Tindakan pihak kerajaan British ini mendapat bantahan daripada peniaga-peniaga di Sarawak terutama peniaga Cina. Peniaga yang tidak setuju dengan kenaikan yuran tersebut telah mengadakan mensyuarat di Dewan Peniagaan Cina, Sarikei. Mesyuarat yang diadakan pada cuti Krismas memutuskan untuk mengadakan hartal pada awal tahun 1955 selama 10 hari.
Manakala Dewan Perniagaan Binatang (Bintangor) telah mengadakan mesyuarat keesokan harinya dan juga bersetuju untuk menutup kedai-kedai di bandar tersebut. Di Sibu pula Dewan Peniaga Cina juga mengambil keputusan menutup kedai selama tiga hari dari 8 hingga 10 Januari 1955. Kemudian peniaga-peniaga di Mukah juga turut serta dengan menutup kedai mereka selama sehari pada 13 Januari 1955.
Dewan Peniaga Cina di Kuching telah mengadakan mesyuarat pada 30 Disember 1954 untuk membincangkan tindakan bantahan yang akan dibuat. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk mengadakan hartal dengan menutup kedai-kedai di Kuching. Penutupan kedai ini dibuat selama tiga hari dari 7 Januari hingga 9 Januari 1955.
Sejajar dengan keputusan ini juga pasar-pasar sayur dan daging juga turut serta untuk menghentikan peniagaan mereka selama tiga hari. Ia kemudiannya diikuti oleh perkhidmatan teksi yang juga menghentikan perkhidmatan mereka selama tiga hari.
Kemudian tindakan menutup kedai ini merebak pula ke Bintulu dan Miri. Bandar-bandar kecil juga terlibat dengan penutupan perniagaan ini seperti Kanowit. Selain perkidmatan teksi, perkhidmatan bas juga dihentikan bagi menunjukkan kesatuan mereka terhadap bantahan tersebut.
Singapura Terkesan
Pada masa yang sama peniaga-peniaga di Sibu, Sarikei dan Binatang sepakat untuk tidak mengimport barang sehingga 10 Januari 1955. Terdapat kebimbangan dalam kalangan pengimport getah dan lada dari Singapura yang berharap agar eksport kedua-dua barangan tersebut tidak dihentikan. Straits Steamship Company telah mengadakan rundingan dengan pekerja limbungan kapal untuk memunggah barang-barang dari Kapal Auby yang akan datang sekitar 9 atau 10 Januari 1955. Pekerja-pekerja ini dikatakan tidak terlibat dalam pemogokan itu tetapi sesetengah mereka tidak dapat bekerja kerana penutupan kedai-kedai dalam hartal tersebut.
Ling Lee Hua iaitu Pengerusi Persatuan Pengimport dan Eksport Singapura Sarawak berkata bahawa pengimportan getah dan lada tidak memberi kesan besar kepada Singapura berbanding dengan mogok keatas pengeksport barang-barang. Ini kerana menurut beliau pengimport Singapura hanya mengalami masalah kelewatan dalam penghantaran.
Ling Lee Hua menambah bahawa kadar yuran baharu diperkenalkan itu terlalu tinggi dan perlu dikurangkan. Beliau menambah bahawa pihak yang paling terkesan adalah pergeksport lada yang mana baharu sahaja kerugian tahun lepas apabila mengalami kejatuhan harga lada hitam dari $300 kepada $130 per pikul.
Reaksi British
Bantahan daripada pihak peniaga ini mendapat reaksi balas daripada kerajaan British. Pihak British terpaksa akur dengan bantahan ini dengan menangguhkan dahulu pelaksanaan kenaikan kadar bayaran yuran lesen peniagaan ini.
Pihak British telah membentuk sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Setiausaha Kewangan. Jawatankuasa ini akan meneliti semula ordinan tersebut. Tambahan daripada itu ia juga akan membuat cadangan untuk mengemaskini ordinan tersebut untuk membolehkan keadilan dalam pengagihan dan mengutip bayaran yuran lesen tersebut.
Jawatankuasa ini mengandungi kelima-lima residen di Sarawak. Selain itu seorang pegawai Jabatan Perdagangan dan Kastam dan Ketua Akauntan. Badan ini akan mengadakan rundingan dengan dewan perniagaan dan wakil-wakil pedagang bagi seluruh Sarawak.
Sehingga hujung Januari 1955, jawatankuasa ini telah berjumpa dengan 30 wakil daripada Jawatankuasa Bantahan. Menurut jawatankuasa ini perjumpaan tersebut mendatangkan maklum balas yang baik. Manakala Residen Bahagian Ketiga pula menerima beberapa petisyen daripada pekedai di Oya, Dalat dan Mukah tentang yuran tersebut.
Akhirnya pihak kerajaan bersetuju untuk mengurangkan bayaran yuran lesen perdagangan tersebut. Tindakan kerajaan ini berjaya menyelesaikan masalah hartal yang dilancarkan oleh peniaga-peniaga Sarawak.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.