

LONDON: Putera Harry dari Britain melawat kawasan periuk api di Angola, 28 tahun selepas lawatan terkenal mendiang ibunya ke negara yang sama, lapor PA Media/dpa.
Sebagai penaung kepada badan amal pelupusan periuk api, Halo Trust, Harry bertemu dengan keluarga di sebuah perkampungan terpencil berhampiran kawasan periuk api terbesar di Afrika pada Rabu.
Beliau turut memberi nasihat dalam bahasa Portugis kepada kanak-kanak di Cuito Cuanavale supaya berhati-hati dan tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan: “Berhenti, berpatah balik dan maklumkan kepada orang dewasa.”
Duke of Sussex itu memberi tumpuan kepada ancaman sisa bahan letupan di Angola, negara yang pernah dilawati oleh Puteri Diana pada 1997 bagi menggesa dunia mengharamkan penggunaan periuk api.
Pada Selasa, Harry turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Angola Joao Lourenco dan mengalu-alukan komitmen berterusan pemimpin itu dalam usaha membersihkan sisa periuk api yang ditinggalkan sejak perang saudara berakhir pada 2002.
Beberapa bulan sebelum kematiannya dalam kemalangan jalan raya, Diana yang memakai pelindung muka dan jaket kalis peluru, berjalan melalui kawasan periuk api yang sedang dibersihkan oleh Halo Trust di Huambo – gambar ikonik itu menjadikan kempen antiperiuk api mendapat perhatian global.
Harry sebelum ini juga menjejak semula laluan ibunya dalam lawatan ke Angola pada 2019 dan berkata: “Kanak-kanak tidak sepatutnya hidup dalam ketakutan untuk bermain di luar atau berjalan ke sekolah.
“Di Angola, lebih tiga dekad kemudian, sisa-sisa perang masih mengancam nyawa setiap hari.”
Kerajaan Angola kini merupakan penyumbang terbesar kepada Halo Trust di negara Afrika Barat Daya itu.
Satu kontrak baharu selama tiga tahun antara kerajaan Angola dan Halo Trust turut dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Lourenco.
Kemudiannya pada hari sama, dalam satu majlis anjuran Kedutaan British, Harry turut berbincang dengan pemimpin perniagaan mengenai usaha mengekalkan kerjasama dalam kerja-kerja kemanusiaan.
Beliau berkata: “Komitmen berterusan kerajaan Angola merupakan bukti kukuh kejayaan Halo dalam menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko kemanusiaan.
“Kami berterima kasih kepada Presiden Lourenco atas kepimpinan dan kerjasama beliau, serta sokongan berterusan daripada para penyumbang ketika kita bersama-sama berusaha mencapai misi negara bebas periuk api.”
Ketua Eksekutif Halo Trust, James Cowan, berkata: “Kami amat menghargai kepimpinan Presiden Lourenco dan komitmen Duke of Sussex terhadap usaha Halo di Angola.
“Kontrak baharu ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam misi menjadikan Angola bebas periuk api, dan kami akan terus bekerjasama dengan rakyat Angola sehingga periuk api terakhir dibersihkan.”
Menurut Halo Trust, sekurang-kurangnya 60,000 orang terbunuh atau cedera akibat periuk api di Angola sejak 2008.
Setakat ini, lebih 120,000 periuk api dan 100,000 bom telah dinyahaktif di negara itu, namun lebih 1,000 kawasan periuk api masih belum dibersihkan, dan sekurang-kurangnya 80 orang terkorban dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Semasa lawatan beliau pada 2019, Duke turut memakai jaket pelindung dan pelindung muka serta meletupkan periuk api dalam letupan terkawal, sambil menyeru tindakan global bagi menghapuskan periuk api di seluruh dunia.
Beliau berkata masalah periuk api di Angola mungkin sudah selesai sekiranya mendiang ibunya masih hidup.
Diana sebelum ini lantang bersuara menentang penjualan dan penggunaan periuk api serta secara terbuka menggesa pengharaman antarabangsa ketika lawatannya ke Angola pada 1997.
Mengenai lawatan terkini Harry, Halo Trust berkata: “Komitmen yang diperbaharui ini membina kesinambungan sokongan kerajaan Angola, yang mula mendapat perhatian sejak lawatan Duke pada 2019 untuk menjejaki laluan mendiang ibunya.
“Lawatan itu menunjukkan bagaimana tanah yang suatu ketika dahulu berbahaya kini boleh diubah menjadi komuniti yang selamat dan makmur.”– Bernama-PA Media/dpa