
WASHINGTON: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris menggesa rakyat negara itu menentang apa yang disifatkannya sebagai serangan terhadap Perlembagaan, dalam ucapan umum pertamanya sejak tewas kepada Presiden Donald Trump dalam pilihan raya lalu.
Calon presiden Demokrat 2024 itu menuduh pentadbiran Trump mengabaikan sepenuhnya nilai tertinggi Amerika, dan memberi amaran mengenai krisis perlembagaan yang bakal tercetus sekiranya mahkamah dan Kongres gagal membendung kuasa presiden – atau jika Trump sendiri enggan mematuhinya.
“Itu satu krisis yang akhirnya akan menjejaskan semua orang,” katanya pada Rabu malam ketika berucap pada majlis gala kumpulan wanita Demokrat, Emerge America, di San Francisco. “Kerana ia bermakna segala peraturan yang melindungi hak dan kebebasan asasi kita, yang menjamin setiap daripada kita ada suara dalam sistem pemerintahan, tidak lagi bermakna.”
Ucapan itu disampaikan tepat 100 hari selepas bermulanya penggal kedua Trump, yang menyaksikan pentadbirannya mengeluarkan puluhan perintah eksekutif yang meluaskan kuasa presiden, pemecatan besar-besaran penjawat awam, tindakan keras terhadap pendatang yang turut menjejaskan pelajar asing serta warganegara sendiri, dan pelaksanaan tarif secara meluas terhadap negara sahabat dan pesaing.
Dalam ucapannya, Harris turut mengkritik Trump atas apa yang disifatkannya sebagai “krisis ekonomi ciptaan manusia paling besar dalam sejarah presiden moden”, yang menurutnya menjejaskan perniagaan besar dan kecil di seluruh negara.
“Negara ini milik kita. Ia bukan milik sesiapa yang berada di Rumah Putih. Ia milik anda. Ia milik kita. Ia milik kita semua sebagai rakyat,” katanya pada penutup ucapannya.
Sejak kekalahan dalam pilihan raya Presiden pada November lalu, Harris banyak menjauhkan diri daripada tumpuan umum. Walaupun Trump hanya menang tipis dari segi undi popular, beliau berjaya menyapu bersih undi Kolej Pemilih di tujuh negeri utama yang menjadi penentu kemenangan, selain meraih sokongan lebih besar dalam kalangan pengundi Latino, kulit hitam dan golongan muda – yang lazimnya menyokong Demokrat.
Beberapa media Amerika melaporkan Harris sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Gabenor California, negeri kelahirannya, pada 2026. – Bernama