
JOHOR BAHRU: Dari kejauhan, kelibat seorang pemuda berseluar ‘bell-bottom’, berkemeja corak abstrak dan berkasut tumit tebal di Pasar Pagi Johor Bahru di sini sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja menoleh berulang kali.
Gerak dan gaya langkahnya seakan menghidupkan semula aura tarian lantai disko era 1970-an, sekali gus mencuri perhatian pengunjung sekeliling.
Itulah Harris Irfan Jamaludin, 21, anak muda yang berani melawan arus fesyen masa kini, terutama golongan sebayanya yang lebih cenderung kepada gaya moden, ringkas dan minimalis.

Lebih menarik, fesyen era 70-an itu bukan hanya digayakan untuk acara tertentu atau menghasilkan kandungan di media sosial semata-mata, sebaliknya sudah sebati dan menjadi identiti harian hingga ke tempat tidur pun masih mengekalkan sentuhan retro.
“Keluarga sokong penuh minat saya, bahkan mereka turut belikan pakaian vintaj era 70-an untuk tambah koleksi, walaupun pada permulaan mereka seakan tidak yakin dengan minat saya,” katanya yang mula mengenakan fesyen itu sejak 2023, ketika ditemui Bernama.
Harris Irfan juga minat mendengar lagu penyanyi lama seperti Datuk Hail Amir, Datuk Sudirman Haji Arshad, Latif Ibrahim serta bintang Hollywood, Elvis Presley dan John Travolta, selain menjadikan keunikan fesyen digayakan mereka sebagai inspirasi.
“Kalau orang tanya macam mana saya dapat keyakinan (untuk berpakaian 70-an di khalayak ramai), ini semua kena bermula daripada minat. Perlu ada jiwa baru timbul keyakinan,” katanya.
Baginya fesyen retro yang digayakan bukan sekadar penampilan luaran malah mencerminkan penghargaan terhadap budaya tempatan yang kaya dengan kreativiti, ekspresif dan berjiwa bebas berbanding trend semasa.

“Fesyen retro ini, warna dan rekaan pakaiannya menarik. Kita bebas untuk berekspresi dan kain yang digunakan juga berkualiti berbanding sekarang. Pada luaran, mungkin nampak tidak selesa dan panas tetapi apabila dipakai ia senang menyerap peluh dan cepat kering,” katanya.
Kesungguhan pemuda berasal dari Bandar Baru Uda ini juga boleh dilihat menerusi koleksi peribadinya yang lengkap daripada baju, seluar, kasut, cermin mata, jam tangan hingga aksesori vintaj lain, dengan perbelanjaan mencecah ribuan ringgit.
Selain mengumpul koleksi untuk diri sendiri, dia turut menjual barangan retro seperti pakaian dan kasut tumit tebal vintaj, termasuk daripada jenama Orlando dan Corona yang secara tidak langsung menjadikan minatnya sebagai sumber pendapatan sampingan.
Harris Irfan yang bekerja sepenuh masa sebagai hos siaran langsung di sebuah syarikat pengeluar makanan, turut aktif menghasilkan kandungan berkaitan gaya hidup dan fesyen retro di platform TikTok, yang kini mencecah lebih 17,000 pengikut.
Anak bongsu dari tiga beradik itu mahu membuktikan bahawa fesyen era 1970-an bukan sekadar nostalgia malah masih relevan dan mampu diterima masyarakat masa kini.
“Orang muda sekarang harus kenal fesyen ini yang pada zaman ayah dan datuk mereka sangat popular, saya harap ia juga dapat menjadi inspirasi untuk mereka cuba terokai buat pertama kali,” katanya.
Pengikut kumpulan ‘70s Revival’ yang mencetuskan fenomena kebangkitan semula elemen fesyen dan muzik era 70-an di Malaysia itu, berharap gaya berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda sebagai satu bentuk ekspresi seni.
-Bernama