
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, hari ini merasmikan Sambutan Hari Yoga Sedunia Ke-11 anjuran Yayasan Brahma Kumaris, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Persatuan India, Jalan Rock, di sini.
Bertemakan ‘Yoga untuk Satu Bumi, Satu Kesihatan’, sambutan ini dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur dan Persatuan India Kuching, bersempena Hari Yoga Antarabangsa yang diraikan setiap 21 Jun di seluruh dunia atas inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam ucapannya, Dato Ir. Lo menegaskan bahawa amalan yoga bukan sekadar senaman fizikal, tetapi satu disiplin holistik yang menghubungkan tubuh, minda dan semangat.
“Tema tahun ini sangat bertepatan dan mendalam maknanya. Ia mengingatkan kita bahawa kesejahteraan manusia berkait rapat dengan kesihatan bumi yang kita diami,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa dalam dunia moden yang dipenuhi cabaran dari segi alam sekitar, sosial dan emosi, yoga menawarkan jalan ke arah kehidupan yang lebih seimbang, harmoni dan sedar diri.
“Yoga ialah ilmu kesejahteraan yang membimbing kita untuk hidup dengan lebih sihat, tenang dan sedar. Apabila kita sihat dari dalam, kita lebih mampu menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat dan alam sekitar,” jelasnya.
Dato Ir. Lo turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Brahma Kumaris Cawangan Kuching atas usaha menganjurkan program tersebut, serta kepada Suruhanjaya Tinggi India dan Persatuan India Kuching atas sokongan padu mereka.
Menurut beliau, Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan keharmonian kaum, wajar terus memupuk nilai-nilai tersebut melalui amalan seperti yoga yang menggalakkan kedamaian, kesedaran kendiri dan inklusiviti.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti gimnastik, wushu, serta demonstrasi yoga yang mendapat perhatian para tetamu dan peserta yang hadir.
Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Batu Lintang, Sih Hua Tong, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Cik Cindy Lim, Pengurus Cawangan Kuching, Loh Fu Min, Presiden Persatuan India Kuching, Ratha Perumall serta Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TSG Group of Companies, Dato Chris Chung Soon Nam.
Oleh Shikin Mahmud