
MIRI: Majlis Sambutan Hari Wesak dan upacara mandi Buddha anjuran Pertubuhan Ugama Buddha 1993 Miri berlangsung meriah di premis persatuan di Jalan Chong Poh, Krokop, Miri, hari ini.
Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran sambutan ini yang bukan sahaja memperkukuhkan ikatan komuniti Buddha, malah turut mempromosi semangat kasih sayang, keharmonian dan toleransi yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat di Sarawak.
“Wesak bukan sekadar sambutan keagamaan, ia adalah ruang untuk kita merenung dan menyucikan hati iaitu seperti pesan Buddha, ‘hindari kejahatan, lakukan kebaikan’ inilah mesej yang perlu kita amalkan dalam kehidupan harian,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak terhadap prinsip kebebasan beragama dan menyokong kepelbagaian kepercayaan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), termasuk pemberian peruntukan kepada pelbagai institusi keagamaan bukan Islam di negeri ini.
Tambah beliau, perpaduan yang dinikmati oleh rakyat Sarawak hari ini adalah hasil daripada semangat saling menghormati dan menerima perbezaan yang dipegang teguh oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam satu pengumuman yang dinanti-nantikan, beliau turut menyatakan sokongan kewangan terhadap program pendidikan kanak-kanak yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ugama Buddha Miri, yang kini menampung lebih 100 pelajar dan menyasarkan peningkatan kapasiti kepada 150 pelajar.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kebajikan kepada tujuh organisasi tempatan, termasuk Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation, Miri Life Care Society dan Sarawak Children’s Cancer Society.
Kemuncak sambutan adalah upacara mandi Buddha yang dijalankan dengan penuh simbolik sebagai lambang penyucian jiwa dan pemurnian hati, diikuti pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan seperti pembacaan sutra, penyalinan sutra, pengikatan tali keamanan dan agihan makanan vegetarian kepada orang ramai. – EDISI UKAS