
KUCHING: Sambutan Hari Wesak tahun ini bertemakan mesej belas ihsan, kebijaksanaan, keamanan dan keharmonian disifatkan sangat bertepatan dengan cabaran dunia masa kini yang kian berpecah serta berdepan pelbagai tekanan sosial dan alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, nilai-nilai murni ini harus dipupuk dalam masyarakat walaupun dunia semakin pesat membangun dengan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI).
“Dalam zaman AI sekarang, manusia perlu lebih berwaspada agar tidak terpesong daripada nilai-nilai sejati kemanusiaan.
“Saya yakin akan wujud individu bijak yang tetap memiliki kepercayaan mendalam terhadap ajaran Buddha walaupun teknologi terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wesak yang diadakan di Sarawak Buddhist Association, Jalan Supreme, pagi tadi.

Tambah beliau, dalam situasi dunia yang semakin kompleks dan berpecah, mesej tema Hari Wesak menjadi panduan penting untuk membina semula keamanan dan keharmonian sejati, termasuklah dalam hubungan antara manusia dan alam sekitar.
Katanya, perdamaian dengan alam semula jadi merupakan sebahagian daripada ilmu sains dan teknologi yang harus dihormati dan dijaga, terutama dalam usaha menyesuaikan diri dengan perubahan iklim yang semakin ketara.
“Sebagai rakyat Sarawak, kita harus terus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain kerana kita hidup bersatu padu, tidak kira agama, budaya mahupun bangsa. Inilah kekuatan kita yang dihormati seluruh negara,” katanya lagi.
Dr Sim bahawa nilai belas ihsan, keterangkuman dan kelestarian perlu terus diperkasakan demi kelangsungan keharmonian Sarawak sebagai negeri yang progresif dan makmur.
Oleh Amanda L