
SARIKEI: Wanita memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan masyarakat dan pembangunan negara, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, sambutan Hari Wanita Sedunia bukan sahaja meraikan pencapaian wanita, malah menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar wanita dalam keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.
“Usaha memperjuangkan kesaksamaan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum amat penting agar kita dapat bersama-sama membina Sarawak yang lebih maju dan makmur.
“Sejak sekian lama wanita telah menunjukkan keazaman, kebijaksanaan dan semangat pengorbanan yang tinggi dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perniagaan, khidmat masyarakat serta dalam institusi keluarga,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakilnya pada majlis sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, sumbangan wanita dalam pelbagai bidang tersebut telah memberi impak besar kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut memuji usaha PPWS Sarikei yang aktif menganjurkan pelbagai program bermanfaat kepada masyarakat.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan serta perpaduan dalam kalangan wanita, malah turut menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan serta meningkatkan keupayaan diri.
Tiong Sii turut menyumbangkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada PPWS Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan tersebut. Turut hadir Pengerusi PPWS Daerah Sarikei, Lau Siew Ming.
Oleh Earl Anek