
DEBAK: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) akan menganjurkan sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 pada 2 Ogos depan di bandar raya Kuching dengan tema ‘Sarawak Wanita dalam Ekonomi Digital’ sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam memacu pembangunan ekonomi digital negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, majlis perasmian sambutan itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, pemilihan tema berkenaan bertujuan menghargai jasa, sumbangan dan kejayaan wanita Sarawak dalam bidang ekonomi digital, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh transformasi digital di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
Menurutnya, sambutan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 800 peserta secara fizikal selain disertai 45 daerah di seluruh Sarawak secara dalam talian.
Katanya, orang ramai juga berpeluang mengikuti majlis berkenaan menerusi siaran langsung di platform Facebook dan YouTube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
“Antara pengisian utama sambutan ialah forum bertajuk ‘Sarawak Wanita dalam Ekonomi Digital’, pameran perkhidmatan agensi kerajaan dan usahawan wanita, penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Sarawak bagi tujuh kategori serta pelancaran beberapa inisiatif baharu di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26): Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital di Dewan Perpaduan Debak, di sini kelmarin.
Mengulas mengenai usaha memperkasa ekonomi wanita, Dr Mohammad Razi berkata kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) berupa bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada ibu tunggal, ketua isi rumah wanita dan usahawan wanita yang layak.
Selain itu, katanya, JWKS turut menawarkan Latihan Kemahiran Vokasional Wanita (WST) secara percuma meliputi bidang jahitan, kulinari, spa, urut dan kecantikan bagi meningkatkan kemahiran serta membantu peserta menjana pendapatan.
Beliau berkata, permohonan bagi menyertai program berkenaan dibuka sepanjang tahun secara dalam talian menerusi laman sesawang JWKS dan wanita yang memenuhi syarat digalakkan mengambil peluang tersebut.
Dalam aspek pemerkasaan kepimpinan wanita pula, beliau berkata pelbagai program akan diteruskan termasuk Geran Pemerkasaan NGO Wanita, Program Kepimpinan Wanita, Kem Kepimpinan Belia, Literasi Digital untuk Wanita Warga Emas, sesi libat urus bersama NGO wanita serta Program Kesaksamaan Gender yang memberi penekanan kepada kepelbagaian, kesaksamaan, keadilan dan keterangkuman.
Menurutnya, kerajaan negeri juga terus memberi perhatian kepada pembangunan wanita dan institusi keluarga menerusi pelaksanaan Program Pemantapan Institusi Keluarga, Program Sokongan Advokasi dan Literasi Undang-Undang, Program Sumbangsih Perayaan, Program Hari Keluarga serta Bicara Santai secara dalam talian bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti di Sarawak.
Oleh Adi Safarman