
PETRA JAYA: Program Hari TVET Negara Kolej Vokasional/Sekolah Menengah Teknik (KV/SMT) Peringkat Zon Sarawak 2025 melabuhkan tirainya hari ini menerusi majlis penangguhan yang berlangsung meriah di Dewan Sri Mutiara, Kolej Vokasional Matang.
Pengarah Cemerlang merangkap Pengerusi Majlis Pengarah dan Pengetua KV/SMT Zon Sarawak, Jamali Mohamad, merakamkan penghargaan kepada semua pihak menjayakan penganjuran Hari TVET Negara kali ini, yang disifatkannya sebagai platform penting untuk memperkukuh agenda pendidikan teknikal dan vokasional di negeri ini.
Menurut beliau, penganjuran Hari TVET Negara bukan sahaja memperlihatkan komitmen kerajaan memperkasakan pendidikan berasaskan kemahiran, malah menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap masa depan pendidikan TVET yang kini semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa dan pelajar.
“Di Malaysia, terdapat hampir setengah juta pelajar TVET dengan 140,000 pendaftaran baharu tahun ini sahaja. Angka ini membuktikan TVET kini menjadi pilihan utama dan diterima sebagai laluan kerjaya yang mampu menjamin masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan institusi TVET untuk terus beradaptasi dengan perubahan landskap pekerjaan global yang kini dipacu oleh Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0) dan menuju ke arah IR5.0.
“Pelajar TVET mesti dilengkapi bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga elemen pemikiran kritikal, komunikasi, kolaborasi, kreativiti serta nilai kepimpinan dan etika profesional bagi menghadapi dunia kerja yang semakin mencabar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pencapaian membanggakan Kolej Vokasional Matang, yang kini menawarkan 10 program pengajian dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Kolej tersebut mempunyai 135 pensyarah, 29 anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan 1,030 pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama strategik antara kolej vokasional di seluruh Sarawak dengan industri semakin meningkat, dengan lebih 1,000 Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bagi memastikan kurikulum sejajar dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Kejayaan KV Matang turut dibuktikan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 85.2 peratus, selain pelbagai pengiktirafan dan pencapaian dalam bidang akademik, kokurikulum serta inovasi, termasuk kemenangan di pertandingan SuKoV Zon Sarawak, FeSKoV Putrajaya, SCaT Fair 2025 dan pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Keputusan ibu bapa dan pelajar memilih laluan TVET adalah tepat, kerana graduan TVET kini menjadi rebutan industri. Kolej Vokasional bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan strategik untuk membina kerjaya yang berkualiti,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi pencapaian salah seorang pensyarah KV Matang, Muhamad Qaedi Edanan, yang terpilih menyertai kursus latihan “Pemerkasaan Kemahiran Masa Hadapan Automasi Industri Didorong AI untuk Jurulatih TVET” di Tokyo dan Osaka, Jepun membuktikan bahawa warga KV Sarawak kini turut mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Majlis penangguhan dihadiri oleh Sharifah Fariah Syed Junaidi mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Yang Dipertua PIBG KV Matang, Yul Haidzir Razali Bujang, para pegawai, ibu bapa serta pelajar-pelajar dari seluruh kolej vokasional dan sekolah teknik di zon Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud