
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menyambut Hari Sukan Negara 2025 dengan menganjurkan program SPORTIFY UTS 2025 – ‘Your Move for an Active Malaysia’, yang berlangsung meriah di Laluan LTC kampus berkenaan baru-baru ini.
Menurut kenyataan medianya, program berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Sukan, Sosial dan Rekreasi Wanita UTS yang diketuai Jacqueline Lynn, dengan kerjasama Kelab Rekreasi UTS (UTSRC) di bawah pimpinan Ellisha Iling.
Majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia UTS, Jimmy de Rozario, sebagai simbolik sokongan universiti terhadap inisiatif Hari Sukan Negara yang digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Acara yang bermula seawal 7.30 pagi hingga 4.00 petang itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya sesi Zumba penuh bertenaga serta perlawanan bola tampar yang melibatkan penyertaan pelajar dan staf UTS.
Sesi Zumba yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman itu menjadi tumpuan utama dengan kehadiran antara 80 hingga 100 peserta, termasuk warga UTS dan peminat Zumba dari komuniti setempat.
Iringan muzik rancak dan suasana ceria menambahkan lagi semangat kesukanan sepanjang aktiviti tersebut.
Menurut kenyataan media itu, penganjuran SPORTIFY UTS 2025 bertujuan menyemai semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekeliling.
“Melalui aktiviti seperti ini, UTS menegaskan komitmennya untuk memupuk kesejahteraan, kerjasama dan gaya hidup aktif dalam kalangan warga universiti,” jelas kenyataan itu.
Pihak penganjur turut berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong aspirasi nasional ke arah rakyat Malaysia yang lebih sihat, aktif dan produktif.
Oleh Tarani Lanting