Oleh: Lt Kol (Dr) Mohd Fadzly Hj. Miswan
“BUKAN! Itu bukan anak kau!” Tingkah kumpulan suara asing yang membentak di mindaku, berkali-kali. Bengang. Sudah seminggu aku terkurung berkecamuk. Serabutnya bagai tajam pisau membelati luka yang sudahpun berdarah. Nyeri bukan kepalang. Seakan batu besar menimpa atas kepalaku.
“Argh.. diam! Kau siapa menafikan hakikat itu!” Aku sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan dalam imaginasi kudratku yang tidak sekuat mana. Mengerti auraku akan mati tersungkur menerima kecaman sebegitu.
Bingit suara empunya sesiapa yang tidak kukenali sangat memengapkan. Berlegar-legar umpama gumpalan awan gelap yang menenggelamkan biru air di tasik hati.
Aku mundar-mandir memegang botol susu kosong lalu memangkung kepalaku. Mengusir anasir yang cuba meracuni pendirianku yang sedia bercelaru. Berdesing. Serba tidak keruan waima memegang apapun.
Suara tangisan Qaiser semakin deras membahana. Langsung tidakku endah kerana kusut.
“Aduh, bisingnya…!” semak menerjang pada gegendang telinga. Berdengung hingga hampir memeluwap amarah.
“Kasihan.” Naluri keibuanku kembali menerjah supaya menghampiri Qaiser lalu dakap memujuk.
“Kau tak layak digelar ibu, Mira!” Giliran suara perempuan tua pula berbisik jahat kepadaku. Hujungnya ada lantang gelak mengejek. Jelik. Suara itu menyumpah seranah kelakuanku.
“Kau pandai buat anak, tapi gagal mempertahankan hak kau!” Kekekannya semakin melampau hingga menyinga rasa hati.
“Diammmm….” Aku menjerit sekuat hati kerana geram tidak terbendung. Bertalun teriakku melenyapkan hilai tawa mereka. Aku tersengih kecil seperti beroleh kemenangan.
Kemudian hadir lembut suara budak perempuan pula mencelah. “Usah pedulikan mereka. Kami sentiasa bersama kamu. Kau dah buat sebaik mungkin, cuma takdir tidak menyebelahi kamu.”
Seketika sapaan itu amat menyenangkan aku. Sekurang-kurang ada seseorang yang berpihak pada aku ketika ini.
“Betul, aku memang tak bersalah! Saleh punya angkara.” Aku ketawa kecil, mengiyakan kata-kata itu.
Tangisan Qaiser mula beransur reda setelah kusuakan botol susu tadi. Mata redupnya membibitkan rasa kasih yang tidak berpenghujung.
Aku duduk sebentar di lantai kosong melepaskan lelah yang menghambat. Sesekali, memerhati sekelilingku andai lembaga itu datang untuk mengambil Qaiser. Acapkali lembaga yang mendakwa berasal dari kampung bunian di pinggir hutan berkeras mahukan anak aku menyinggah pandangan.
“Bayi ajaib konon. Satu dalam berjuta.” Desisku menyangkal alasan merapu yang aku takkan izinkan dan selamanya tidak akan pernah rela.
“Perit payah aku mengandungkannya 35 minggu, senang-senang dia nak meminta. Aku ibunya, bukan barang mainan di kedai runcit untuk dijual beli!” Hati kecilku mengomel keras.
“Serahkan sahaja kepada aku. Biar Qaiser tinggal di tempat kami.”
Aku terkejut dengan jelmaan yang tidak semena-mena muncul di hadapan aku sekali lagi. Buntang biji mataku.
“Pergi..pergi..aku tak perlukan kau! Aku boleh membahagiakan dia. Kau adalah syaitan.” Keberanian jelas mengatasi ketakutanku. Jelmaan itu lesap sekelip mata.
Puas hati aku sambil tersenyum sendirian. Pandanganku tertancap pada sepasang mata memerhatiku dari kejauhan. Jelingannya membuatkan hatiku berbuku.
“Cemburulah tu.” Aku membalas dengan kerlingan sinis.
Hatiku mendadak dipagut kesayuan. Sedihnya bukan kepalang. Aku cuba mengungkai punca umpama mencari sebutir pasir di dasar laut. Dalam kepayahan menyelam, aku disagat karang tajam. Kadang-kadang hampir lemas. Sesak nafas, aku naik ke permukaan semula. Hanya awan gelap menyorok sinar matari. Pengap. Kosong. Tiada kawanan burung camar riang menyanyi lagu kedamaian. Bayu yang berpuput seakan membakar setiap rinci tubuhku. Itulah yang aku alami selama ini.
Kesedihanku membuatkan aku mengabaikan Qaiser seketika.
“Tidak..aku bukan ibu yang jahat.” Aku menolak prasangka diri. Menyandar silap pada orang lain.
“Atau mak yang patut dipertanggungjawab. Kenapa tinggalkan aku sendirian di sini. Mereka yang abaikan aku. Aku sentiasa di samping Qaiser.” Qaiser kupeluk erat seperti tidak mahu melepaskannya walau sesaat. Sementelah itu , aku mendendangkan lagu pengantar tidur kegemaranku, Arjuna Beta untuk Qaiser. Bait-baitna sangat mengesankanku hingga Qaiser tampak lena.
‘Nyamanlah Arjuna beta
Mimpikan yang indah saja
Nanti bila kau buka mata
Semua tak serupa’
“Mira, makan ni. Nanti kamu kelaparan.” Mata yang memandang tadi menyapaku tegas mengarahku.
Aku kurang senang dengan kehadirannya yang mengganggu dodoianku.
“Letak sahaja di situ. Pandailah aku nanti. Qaiser tengah menyusu.” Aku langsung tidak menatap wajahnya. Rasa benci bersilih geram.
Mukanya bengis seperti karakter ibu tiri dalam sinetron jam 7 malam. Dia hanya menggelengkan kepala, mungkin tidak senang dengan sikap tidak acuhku.
Aku kembali mengusap lembut rambut Qaiser hingga menerbitkan rasa sayang yang mendalam kepada anak sulungku ini, hasil perkahwinan dengan Saleh.
“Tak apa nak, ibu tidak akan mengabaikan kamu. Nanti dah besar, jadi anak yang baik, ya.” Bicaraku dengan Qaiser sambil membelai tangannya yang putih mulus itu. Rupa memang seiras Saleh, hidung pendek berhujung bulat, alis matanya lentik, berlesung pipit.
Aku menyambung membobok Qaiser dengan cerita tentang kehebatan ayahnya,seorang pegawai tentera yang sangat disenangi oleh teman sekerja. Atas kredibiliti yang terserlah, Saleh selalu diarahkan melaksana tugas-tugas penting di perbatasan.
Namun, disebabkan kesibukannya, boleh dihitung dengan jemari, bilangan hari yang dibelanja menemani sepanjang aku mengandung. Memoriku terusik ketika mengimbas peristiwa tumpah darah semasa kandunganku berusia 6 bulan. Kehamilanku tergugat. Aku meraung mengingatkan aku hampir kehilangan anak yang memang sangat dinantikan setelah 10 tahun perkahwinan. Saleh cuma dibenarkan bercuti kebajikan selama tiga hari sahaja. Melebihkan kerja dari kebajikan keluarga, itu reaksiku. Apabila habis tempoh bercuti, mak mentuaku beriya menyuruh Saleh kembali bertugas. Katanya, usah bimbang, dia akan menjagaku. Bohong! Kepalsuan yang memang selalu menjadi sandiwara mak mentuaku
Rajukku hampir sebulan. Tiada pesanan suara atau kiriman Whatsappnya aku balas. Memang kecil hati aku ketika itu. Puas Saleh memujuk aku yang sememangnya keras kepala. Aku hanya dibiarkan keseorangan, sesepi malam tanpa bintang dan bulan. Segelap jalan tanpa neon memayungi bumi.
Hampir sahaja aku mahu menamatkan riwayat diri saat aku merasakan Qaiser tidak sabar ingin melihat dunia. Kesakitannya aku tanggung sendirian. Aku tahu, Qaiser masih pramatang untuk menjengah keluar. Organ-organ vital belum dapat berfungsi sepenuhnya. Emosiku sangat terganggu. Ibu mentuaku segera menghantarku ke hospital. Aku meracau kerana terlampau menahan kesakitan. Hasil pemeriksaan menyakinkanku jalannya belum buka lagi, walaupun air ketubanku sudahpun pecah.
Berselirat wayar dipasangkan pada tubuhku. Tekanan darahku mencecah di paras bahaya. Bacaan kardiotokografi berterusan pula menunjukkan degupan jantung Qaiser tidak sekata. Katanya ada masalah yang memaksa untuk dibuat pilihan.
Moderate meconium yang boleh menyebabkan sindrom aspirasi mekonium(MAS). Itulah terma asing perubatan yang dikhabarkan oleh pegawai perubatan bertugas sewaktu merawatku. Aku disuntik dengan dexamethasone bagi mematangkan peparu bayi yang aku kandungkan sekiranya perlu dikeluarkan segera.
Aku menangis tanpa henti. Puas mereka memujuk, tetap aku tidak peduli. Aku tidak mahu dibedah. Katanya risikonya pun tinggi. Disebabkan ketiadaan Saleh, mak mentuaku terpaksa menandatangani surat kebenaran untuk aku menjalani pembedahan malam itu juga.
Aku sudah tidak sanggup merasai sebuah lagi kehilangan. Insiden keguguran beberapa kali sebelum ini cukup memeritkan.
Imbasan kenanganku terhenti saat terdengar keriuk kuakan pintu. Aku masih membiarkan botol susu melekap di mulut Qaiser tatkala mengincar ibu mentuaku yang terpacul dengan pandangan sugul.
“Ah, berkesan sungguh ekspresinya.” Aku masih menganggap itu satu kepalsuan wajah untuk membujukku.
“Mira sihat ke?” lembut sahaja sapaannya. Dia mengisir rambutku yang berkusau.
“Huh…” Hanya dengusan kecil aku hadiahi kepadanya. Muak dan benci menatap wajah itu. Aku tidak dapat menerima apa yang telah dilakukannya kepadaku selama ini.
“Maafkan mak, Mira. Ini yang terbaik buat Mira. Bukan mak tak sayang, Mira.”
Ngongoiannya langsung aku tidak endahkan. Air mata palsu. Dia cuba memelukku, namun aku menginjak sedikit ke belakang.
“Puan Mira, jangan macam tu. Kasihan pada ibu kamu. Dia beriya menjenguk dan berusaha memulihkan jiwa kamu.” Wanita berpakaian kot putih itu mengingatkanku tentang adab seorang anak. “Dia juga seperti ibu kamu sendiri.” tambahnya lagi.
Aku tidak berkelip merenung tepat ke arahnya. Tanda nama yang tersemat di dada kanan tertera nama, Dr Elin menarik perhatian.
Aku termangu sebentar. Air mataku tumpah berjejeran tanpa paksaan kerana mula menyedari keberadaanku kini. Aku hanya memegang sebuah anak patung.
Mak mengesat air mataku lalu menarik tanganku dan mengenggamnya.
“Mira, masih tak ingat ke?” Mak berusaha untuk mengorek sisa-sisa ingatanku yang masih tertanam.
Berdenyut-denyut urat kepalaku saat merenung kawasan sekitar. Hanyalah sebuah bilik kecil yang dipasang pelapik. Aku terus segera bangun.
“Kenapa aku di sini?Mana Qaiser? Aku memarahi mereka berdua. Patung mainan tadi aku lemparkan ke dinding.
Mak segera erat merangkulku. Seakan-akan tidak mahu melepaskan aku. Terhinjut-hinjut bahu mak menahan sebak.
“Istighfar, Mira. Anak kamu dah tiada. Selepas seminggu dilahirkan, anak kamu kembali kepada Allah. Arwah meninggal disebabkan oleh komplikasi pencernaan.”
“Hah.” Aku diselimut keliru. Baru sekejap tadi aku menyusukan Qaiser. Mustahil. Ini helah bela diri mak hendak memisahkan aku dengan Qaiser.
“Aku tak percaya. Kamu semua pembohong.” Cepat-cepat aku lerai pelukan mak.
“Abang Saleh mana? Aku nak jumpa dia.”
Kali ini aku lihat air mata mak semakin deras mengalir. Dr Elin hanya memandangku tanpa sepatah kata dengan sibuk menulis sesuatu dalam fail putih.
“Mira, suami kamu sudah dua bulan meninggal semasa pulang dari operasi. Dia tergesa-gesa nak jumpa kamu masa di wad dulu….”
Aku kembali meraung tanpa ibu menghabisi ayatnya. Apa yang aku lihat selama ini hanyalah delusi semata-mata. Mempermainkan jiwaku yang rapuh. Terasa duniaku seakan berputar, melontar pandangan cemuh kepadaku.
Aku terdengar perbualan mak dengan wanita bernama Elin itu mengatakan aku mengalami severe post partum depression.
“Arghhh….aku tak gila.” Jiwaku semakin galau. Ketegangan mula menghinggap pada setiap ototku sehingga terketar-ketar.
Kumpulan suara asing tadi kembali menyinggah di benakku. Kali ini, gelak mereka bersilih tangisan. Beberapa jururawat dan dresar berkerumun memegangku. Dr Elin menyuntik sesuatu pada bahu kiriku lantas melonggarkan rontaanku.
Perlahan-lahan aku rasa longlai. Mamai tika memori Saleh dan Qaiser mula beranjangsana dalam fikiran, menghiburkan nestapa.Sampai bila? Aku sendiri pun tak pasti.
Terbayang hari sepiku lalu berwajah biru dalam kepompong depresi yang terencana buatku.