SUDAH tujuh tahun Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan meninggalkan kita semua, namun jasa dan legasinya tetap dikenang. Ungkapannya ‘jaga Sarawak bait-bait (Jaga Sarawak baik-baik) sentiasa dalam ingatan rakyat Bumi Kenyalang ini.
Satu lagi ungkapan keramat yang tidak pernah dilupakan ialah kata-kata pemimpin ulung Iban yang juga individu penting menyokong penubuhan Malaysia, mendiang Tun Jugah Barieng, yang berbunyi: ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ (Jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung).
Dua ungkapan bersejarah ini mempunyai mesej penting untuk dipegang oleh sesiapa sahaja memimpin Sarawak pada masa akan datang dan pastikan hak Sarawak bukan sahaja dilindungi, malah dipertahankan daripada sebarang ‘pencerobohan’.
Ketika kita menyambut Hari Sarawak 22 Julai Isnin ini, kita perlu merenung sejenak apa pencapaian 61 tahun lalu dari segala segi setelah pembentukan Malaysia.
Hakikatnya, Tok Nan selaku Ketua Menteri Sarawak kelima, (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) telah membuka era ke arah usaha mendaulatkan Sarawak melalui tuntutan hak negeri ini. Tok Nan adalah pemimpin pertama Sarawak yang ‘mengetuk’ pintu Putrajaya untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi terhakis.
Dari sinilah bermula era mengembalikan segala janji yang dimeterai seperti terkandung dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Namun, sayangnya, Tok Nan tidak sempat melihat hasilnya apabila menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Tok Nan juga mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak. Sambutan pertamanya ialah pada 22 Julai 2016 selepas tarikh itu diisytihar cuti umum bagi negeri ini. “Pengisytiharan ini adalah untuk kenang jasa generasi lama yang berjuang untuk Sarawak,” kata Allahyarham Tok Nan ketika itu.
Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (mulai 13 Januari 2017) mengambil alih jawatan Ketua Menteri keenam (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak), legasi Tok Nan untuk memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis, diteruskan.
Cabaran memimpin Sarawak
Sebelum 2016 dan berpuluh tahun lalu, tiada siapa hirau tarikh 22 Julai atau tepat lagi 22 Julai 1963. Ia berlalu begitu sahaja, manakala sebilangan pakar sejarah membuat tafsiran tersendiri berdasarkan kajian ilmiah mengenai tarikh keramat itu.
Buku ‘The Rising Moon’ yang ditulis oleh Prof Michael Leigh, berkaitan politik Sarawak melalui hasil tesis PhD beliau mendedahkan 22 Julai 1963 adalah hari Kabinet Sarawak yang pertama atau Kabinet perikatan, dibentuk. Menurut Leigh adalah tidak tepat untuk menyatakan Sarawak memperoleh kemerdekaan dari British pada 22 Julai 1963, kerana gabenor British masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963.
Apapun, yang penting mengingati tarikh itu. Tetapi yang lebih penting ialah keputusan Sarawak bersama Singapura dan Utara Borneo (Sabah) membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu berlandaskan MA63 dan IGC. Sejak itu, Sarawak melalui pelbagai cabaran mengikut zamannya sendiri.
Namun, bukan mudah sebenarnya untuk mencapai kemajuan apatah lagi mencurah pembangunan di wilayah yang hampir seluas seluruh Semenanjung Malaysia, dengan keadaan muka bumi berbukit bukau, hutan belantara dan pesisiran pantai. Inilah cabaran dihadapi pemimpin Sarawak.
Sarawak ketika dipimpin oleh Tan Sri Kalong Ningkan iaitu Ketua Menteri pertama (22 Julai 1963 – 23 September 1966) berdepan konfrontasi Indonesia dan gerakan komunis sehingga pada zaman pemerintahan Penghulu Tawi Sli (23 September 1966 – 7 Julai 1970).
Keadaan mula reda semasa pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakub (7 Julai 1970 – 26 Mac 1981) untuk menyatukan seluruh Sarawak dibawah sebuah kerajaan perpaduan Sarawak terutama dengan kejayaan menangani ancaman komunis melalui Perjanjian Damai Sri Aman pada 20 Oktober 1973.
Bong Kee Chok, pemimpin komunis yang menandatangani perjanjian itu, yang membawa kepada peletakan senjata semasa pemberontakan di Sarawak, meninggal dunia Februari tahun lalu pada usia 91 tahun.
Apabila Abdul Taib Mahmud (kemudian Tun Pehin Sri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak) mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak keempat pada 1981 (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014), Allahyarham membawa era politik pembangunan. Usahanya tidak kurang hebat dengan keazaman membawa pembangunan ke seluruh pelosok negeri melalui pendekatan politik pembangunan.
Era Tok Nan
Kemudian, masuk era Ketua Kenteri kelima, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) telah membuka era ke arah usaha mendaulatkan Sarawak melalui tuntutan hak negeri ini.
Dari sinilah bermula era mengembalikan segala janji yang dimeterai seperti terkandung dalam MA63 dan IGC. Tok Nan dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak juga memulakan projek Lebuhraya Pan Borneo. Kira-kira 61 tahun lalu, mungkin tiada siapa terfikir untuk memandu kereta dari Sibu ke Kuching dalam tempoh lima, enam jam sahaja. Begitu juga dari Kuching ke Miri atau Bintulu. Malah, tidak terfikir boleh pandu terus melalui darat dari Sibu ke pekan Kapit.
Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil alih jawatan Ketua Menteri keenam (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak) sejak tujuh tahun lalu, legasi Tok Nan untuk memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis, diteruskan.
Era Abang Johari atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Abang Jo’ adalah era ‘Sarawak kaut emas’ daripada hasil bumi. Di atas tanah, bawah tanah, di udara (spektrum), di laut… semuanya kini mendatangkan hasil melalui Cukai Jualan Negeri (SST) dari syarikat minyak dan gas, syarikat telekomunikasi dan syarikat mengendalikan hidrogen, industri karbon yang beroperasi di Bumi Kenyalang.
Dengan pelbagai strategi bagi meningkatkan lagi hasil, kerajaan Sarawak yakin pendapatan tahunan akan terus bertambah berdasarkan ‘new revenue engineering’ yang dilakukan kerajaan Sarawak. Ini termasuk penggubalan beberapa rang undang-undang (RUU) baharu yang akan menjana hasil yang besar kepada Sarawak. Misalnya dasar berkaitan perdagangan karbon melalui RUU Alam Sekitar (Pengurusan Pelepasan Rumah Hijau 2023) RUU Pengagihan gas (Pindaan); RUU Elektrik (Pindaan) dan RUU Ombudsman Sarawak 2023.
Abang Johari lebih lagi ke hadapan mengikut perkembangan global dengan memperkenalkan ekonomi digital, tenaga hijau, industri karbon dan memperkenal hak perundangan ruang udara spektrum.
Bayangkan pada suku pertama tahun ini, Sarawak sudah memperoleh pendapatan bernilai RM4.798 bilion dan untuk keseluruhan tahun ini, pendapatan dijangka melebihi RM13.1 bilion yang direkodkan sepanjang 2023, termasuk dividen tambahan yang diperoleh pada Disember lalu. Pada 2022, pendapatan Sarawak adalah sebanyak RM11.9 bilion.
Malah baru-baru ini, Abang Johari optimis Sarawak mampu menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM140 bilion pada 2022 kepada RM282 bilion pada 2030.
Apakah erti semuanya ini? Inilah nikmat kemerdekaan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.