Hari Sarawak merupakan hari bersejarah buat rakyat negeri Sarawak. Setiap tahun sejak sekitar 5 tahun lepas, Hari Sarawak adalah hari kelepasan am atau cuti umum bagi negeri Sarawak.
Tarikh 22 Julai diraikan sebelum kemerdekaan Sarawak dan pembentukan Malaysia berlangsung pada 16 September 1963.
Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Pehin Sri Adenan Satem yang menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima Sarawak telah membuat keputusan 22 Julai setiap tahun sebagai cuti khas bagi negeri Sarawak.
Tujuannya adalah untuk meraikan bermulanya Sarawak ke arah berkerajaan sendiri pada tarikh 22 Julai 1963. Di sinilah kabinet pertama tempatan Sarawak dibentuk.
Kesan psikologi
Sebenarnya sambutan Hari Sarawak sejajar dengan usaha kerajaan negeri membentuk politik etnonasionalisme di Sarawak. Sarawak dan Sabah (Borneo Utara) merupakan wilayah yang istimewa dari segi sejarah kerana bersama-sama Semenanjung Malaysia membentuk Malaysia.
Ingatan ini penting dalam kolektif memori rakyat negeri Sarawak kerana ketika itulah perjanjian Malaysia 1963 terbentuk dan banyak perjanjian yang terkandung dikatakan masih lagi relevan dan ada pula belum lagi ditunaikan meskipun sudah hampir 60 tahun pembentukan Malaysia.
Maka ini akan mengingatkan rakyat negeri Sarawak betapa tuntutan-tuntutan berkaitan dengan perjanjian Malaysia masih menjadi bahagian penting yang perlu terus diperjuangkan.
Selagi segala tuntutan ini tidak dipenuhi maka selagi itulah perjuangan tersebut terus berlangsung. Kepemimpinan politik Sarawak terus membawa agenda ini sejak era pemerintahan Adenan Satem. Kepemimpinan politik bertukar ganti, namun agenda memperjuangkan hak Sarawak sentiasa mendapat tempat dan kedudukan dalam politik tempatan dan politik persekutuan. Naratif ini semakin dekat di hati rakyat Sarawak.
Agenda Politik
Apabila Hari Sarawak diraikan maka mesej politik yang hendak disampaikan ialah perlunya agenda yang berkaitan politik diberikan perhatian. Bukan sahaja dari segi hak, malah struktur dan nama jawatan turut dijenamakan sesuai untuk menunjukkan berlakunya perubahan politik sejak Hari Sarawak diraikan.
Yang terbaru ialah pertukaran istilah jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada premier. Penjenamaan ini penting bagi menunjukkan semangat dan memancarkan bahawa Sarawak berbeza khususnya apabila sudah diberikan nama baharu, dilakukan penjenamaan semula dan dibuat perubahan yang bersesuaian dengan agenda dan tema Hari Sarawak.
Dalam konteks ini , meskipun penukaran gelaran premier itu sendiri tidak akan membawa perubahan signifikan dari segi bidang atau skop bidang kuasa kerana ia hanya berbeza istilah antara ketua eksekutif di Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Namun, sesungguhnya dalam ilmu antropologi yang penting ialah simbol kuasa itu sendiri.
Menurut perspektif budaya dalam ilmu antropolologi simbol ini menjadi pencetus tindakan sosial dan pengaruhnya pula ditentukan oleh kecenderungan seseorang individu dan kumpulan untuk bertindak.
Dengan kata lain, apabila jawatan premier menggantikan jawatan ketua Menteri maka ini membawa tindak-tanduk dan gerak laku serta keputusan juga akan berlainan dengan kelompok Ketua Menteri mahu pun Menteri Besar.
Sebab itu, sesiapa pun yang memegang jawatan premier segala tindakan politik mereka tidak sama dengan mereka kelompok Ketua Menteri dan Menteri Besar di Semenanjung Malaysia.
Malah langkah pemegang jawatan premier di Sarawak dilihat lebih kehadapan berbanding pemegang jawatan Ketua Menteri Sabah. Demikian simbol kuasa dalam budaya perspektif ilmu antropologi sebagaimana dikemukakan ahli antropologi yang terkenal bernama Victor Turner yang mempopularkan bidang antropologi simbolik.
Simbol Majlis Program
Program Hari Sarawak merupakan program yang mempunyai signifikan yang sangat unik. Pernah berlaku apabila program sambutan ini diadakan dengan mengadakan pentomin Hari Sarawak.
Pentomin merupakan lakonan situasi tanpa dialog manakala skripnya akan dibaca oleh pihak lain mengiringi lakonan tersebut. Pentomin tersebut berkisar kepada tarikh 22 Julai 1963.
Penglibatan Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) untuk sambutan berkenaan memastikan setiap aktiviti diadakan mempunyai signifikan misalnya mempunyai nilai sejarah dan budaya yang memancarkan situasi masyarakat dan fakta.
Persembahan teater muzikal Rosli Dhobi bagi membangkitkan semangat perjuangan dan cinta akan tanah air turut diadakan. Lagu khas bersifat patriotik bertujuan untuk menyentuh jiwa rakyat Sarawak dan seterusnya membangkitkan semangat cintakan Sarawak dalam kalangan rakyat Sarawak.
Bagi memupuk sentimen kepada warisan sejarah diadakan juga video khas Hari Sarawak 2022 yang berjudul ‘The Lost Kingdom of Sarawak.’ Penayangan ini merupakan pembaharuan sikap pascakolonialisme mengenai kesedaran sejarah yang terpendam.
Selama ini perspektif sejarah Sarawak sering diperkatakan hanya bermula ketika zaman pemerintahan Kerajaan Brunei dan Pemerintahan Keluarga Brooke selama 100 tahun. Namun usaha menggali sejarah yang lebih mendalam dilakukan dengan mengemukakan terdapat lima Kerajaan Kuno Sarawak lebih daripada 100 tahun dahulu, iaitu Kerajaan Negeri Santubong, Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong, Kerajaan Negeri Kalaka, Kerajaan Negeri Saribas dan Kerajaan Negeri Malano.
Kesemua penemuan dimulakan oleh kajian Amin Sweeney seawal 1968 dalam JMBRAS, kemudian dikuti oleh Sanib Said tahun 2011.
Kesinambungan tradisi dalam kerajaan Melayu awal hingga dalam bentuk moden dalam kolonial yang menyebabkan berakhirnya sistem beraja, kolonialisme hingga kepada berkerajaan sendiri adalah detik penting kemerdekaan Sarawak.
Akhirnya persembahan tarian ‘Thousand Hand, Thousand Hope’ yang memancarkan harapan rakyat Sarawak terhadap cabaran dan masa depan negeri Sarawak. Berdasarkan ini dapat dilihat betapa simbol bentuk moden terdapat dalam acara sambutan Hari Sarawak.
Dalam ilmu antropologi, acara sambutan tersebut menjadi satu simbol yang memancarkan sentimen, cita-cita dan harapan dilihat dikongsi dan disertai secara bersama dan menjadi kolektif memori rakyat Sarawak.
Seterusnya, membentuk imaginasi ‘bangsa Sarawak’, ‘warisan sejarah Sarawak’’ daripada perspektif sejarah dan apa-apa yang dibayangkan yang bersifat acara, majlis, aktiviti yang boleh dilihat atau diperhatikan berlaku dalam sambutan Hari Sarawak.
Simbol ini amat dominan dianggap oleh Victor Turner (1967:20) bukanlah semata-mata sebagai cara untuk memenuhi tujuan yang diikrarkan dalam upacara tertentu tetapi juga dan lebih penting merujuk kepada nilai-nilai yang dianggap sebagai tujuan dalam diri mereka sendiri. Kesemua ini adalah lebih mengarah kepada identiti dan jati diri Sarawak.
Pelancongan
Kesemua ini bukan sahaja bernilai sejarah, politik dan sosial, akan tetapi kini dapat dijadikan sebahagian daripada budaya popular dan menjadi produk pelancongan warisan sejarah.
Pihak kementerian pelancongan sewajarnya menggunakan monumen detik-detik bersejarah bagi memastikan Hari Sarawak sebagai salah satu pakej berharga menarik pelancongan domestik dan luar negeri misalnya membuat pakej pelancongan warisan bagi memberikan pengalaman berkunjung ke tempat bersejarah mewakili naratif dan masyarakat dahulu dan sekarang seperti tempat Alfred Russel Wallace menulis catatan, artifak batu buaya di teluk Nipah, tapak arang di Gedong, di teluk Melano tempat Tom Harrisson pernah berkunjung.
Dengan kata lain, ia bukan sekadar di Kuching Water Front dan Muzium semata-mata namun diperluas kepada konsep pelancongan bersejarah lain, lebih luas dan lebih pilihan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Ternyata Hari Sarawak membuka perspektif sejarah yang bukan sekadar sambutan semata-mata, akan tetapi mempertajam perspektif daripada ilmu kebudayaan dan kemasyarakatan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)